Laman Utama
Penangan Salawat 1442, Ustaz Kazim Elias Dapat Bunga! – “Dapat Bunga La Pulak…”
Pendakwah terkenal, Datuk Ustaz Kazim Elias (DUKE) berkongsi rasa terharu apabila menerima jambangan bunga selepas pelancaran lagu Salawat 1442.
Perkara tersebut dikongsi DUKE di laman sosial Facebook (FB)nya sambil mengucapkan terima kasih kepada pengirim.
“Dapat bunga la pulak...Katanya kerana pelancaran lagu Salawat 1442. Terima kasih kepada pengirim,” tulisnya pada ruangan kapsyen.
Mengulas mengenai penglibatan beliau menerusi lagu Salawat 1442 DUKE bersyukur diberi kepercayaan oleh Datuk Norman Abdul Halim untuk menyanyikan lagu tersebut.
Salawat 1442 juga buat pertama kalinya menampilkan DUKE menyanyi secara profesional dari dalam studio rakaman.
“Ramai yang tahu saya memang suka menyanyi ketika melaksanakan ceramah. Alhamdulillah, saya bersyukur dan hargai kepercayaan yang diberikan oleh Datuk Norman Abdul Halim untuk merakamkan sebuah lagu sempena Maulidurasul bersama dua ahli rap terkemuka, iaitu, Tuju dan Tyco,” katanya.
Tambah DUKE lagi, elemen rap dalam Salawat 1442 diselitkan supaya dapat menarik golongan muda mendalami maksud sambutan Maulidurasul.
Dapat bunga la pulak... katanya kerana pelancaran lagu Salawat 1442.Terima kasih kpd pengirim.
Posted by Dato' Ustaz Mohd Kazim Elias on Tuesday, 27 October 2020
“Saya harap Salawat 1442 ini dapat memberi inspirasi kepada anak-anak muda agar sentiasa bersikap positif dalam menempuh rona kehidupan.
“Tidak lupa juga, elemen rap yang diselitkan dalam lagu ini, bertujuan untuk membuatkan golongan anak muda lebih tertarik untuk mendalami maksud di sebalik sambutan Maulidurasul,” katanya.
Sempena sambutan Maulidurasul yang jatuh pada 29 Oktober 2020, Imaan Music, sebuah label muzik berteraskan lagu-lagu Islamik kontemporari, telah melancarkan karya terbaharu mereka berjudul Salawat 1442 pada 27 Oktober (semalam) di laman YouTube Imaan Music.
Salawat 1442 menggabungkan DUKE, Tuju dan Tyco untuk membawa kelainan dalam muzik dakwah yang mana konsepnya disifatkan sebagai ‘relaxing style’.
Sementara itu Tuju berkata pembikinan lirik lagu rap yang dinyanyikan olehnya dalam lagu tersebut adalah sesuatu yang belum pernah diluahkan dalam mana-mana karya sebelum ini.
“Melalui Salawat 1442, saya berupaya untuk meluahkan perasaan saya dengan lebih jelas, sekaligus berkongsi cerita tentang perjalanan hidup saya yang dulu hingga kini, dalam usaha saya menjadi Insan yang lebih baik.
“Saya memang sukakan sesuatu perkara yang baru dan mencabar. Dalam banyak-banyak penglibatan saya menghasilkan muzik, ini adalah kali pertama saya memberanikan diri untuk tampil bukan hanya dalam muzik, malahan dalam kehidupan sebenar.
“Terima kasih Imaan Music kerana memberi peluang dan ruang untuk saya berkarya dalam lagu ini. Diharapkan mesej yang saya cuba untuk sampaikan dalam Salawat 1442 dapat difahami dan diterima oleh semua,” katanya.
Lagu Salawat 1442 juga boleh didengarkan dan dimuat turun di semua pelantar muzik digital selain dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.
Ikuti akaun-akaun sosial media Imaan Music untuk mengetahui perkembangan terkini mengenai Imaan Music.