Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pencinta Kasut Sneaker! Korang Boleh Jual & Beli Balik Di CNCRD

Amri Hassan 06/10/2022 | 10:40 MYT

CNCRD - sebuah syarikat pemula berlatarbelakangkan teknologi dan e-dagang terkini Malaysia baru-baru ini telah melancarkan sebuah platform digital disruptif yang bukan sahaja memudahkan malah memberi pelbagai lagi faedah kepada budaya jualan semula yang semakin mendapat tempat dalam kalangan pengguna, terutamanya kasut sneaker.

Kata pemiliknya, Ryan Ng, platform yang dipilih susun khusus tersebut direka sebagai sebuah pusat sehenti bagi penjual dan pembeli kasut sneaker dalam pasaran terpakai, juga memberi peluang kepada para pengguna untuk menyelami selok-belok pasaran yang tepu dan boleh menimbulkan perasaan yang tidak keruan, serta mengurangkan atau menyingkir terus risiko penipuan replika atau pembelian produk yang salah.
"Kami mengambil kira pelbagai perubahan terkini yang mengambil tempat dalam budaya jualan semula – baik dalam arena tempatan mahupun antarabangsa. Tawaran yang baik untuk sepasang kasut hari ini boleh jadi sesuatu yang kurang memuaskan pada esok hari.
"Di sinilah terletaknya peranan CNCRD dalam menawarkan pengalaman jual beli e-dagang terbaik buat para pengguna kami," katanya.
Untuk melonjakkan perniagaan kami ke tahap yang seterusnya, CNCRD juga menawarkan pengalaman luar talian buat para pengguna menerusi ruang pameran di The Five, Damansara Heights.
CNCRD secara langsung menawarkan kombinasi pengalaman hebat dua penjuru iaitu kebolehskalaan teknologi dan intimasi ruang fizikal.

Bestfriend pelanggan pertama Ryan Ng

Berasal dari Muar, Ryan diperkenalkan kepada arena kasut sneaker ini semasa dia pindah ke Kuala Lumpur untuk melanjutkan pelajaran.

"Pada tahun 2018, ketika saya berumur 18 tahun, rakan-rakan saya hangat membincangkan kasut Jordan 1 Nigel Sylvester dan ia adalah kasut pertama yang membibitkan rasa minat dalam diri saya untuk lebih mendalami arena ini.
"Pada masa itu saya sekadar mempunyai sedikit duit poket dan hanya mampu mengidamkan kasut itu dari jauh. Kasut pertama yang berjaya saya jual adalah sepasang kasut UltraBoosts dan sahabat baik saya selama 15 tahun menjadi pelanggan pertama saya.
"Ia sememangnya mengujakan dan melonjakkan semangat saya untuk menjual 5, 10, malah 20 pasang kasut sneaker," ujarnya.

Rapatkan jurang penjual, pembeli

Menyedari hakikat bahawa dia mampu mengembangkan aktiviti ini untuk menjadi sebuah perniagaan, Ryan telah berganding bahu dengan shabat baiknya, Bryan Ong untuk menjalinkan sebuah usahasama.

Dengan tujuan untuk mencipta sebuah ekosistem yang telus buat para penjual dan menawarkan pengalaman serba baharu buat para pengguna, CNCRD akhirnya ditubuhkan dalam suku ke-4 2021, untuk merapatkan jurang antara para penjual dan pembeli dengan lancar.
"Kami berhasrat untuk mengembangkan kategori produk kami untuk melibatkan pakaian, barang koleksi keluaran terhad dan pelbagai lagi.
"Namun, fokus kami buat masa ini adalah untuk mmperkukuh sistem yang sedia ada, membimbing kelompok sasaran kami, meraih kesedaran dan juga memanfaatkan data untuk memaksimakan jualan buat para penjual dan memenuhi pengalaman membeli belah yang dipilih susun buat para pengguna kami," jelas Bryan.

Inspirasi Hypebeast

Menamakan Eddy Lu, CEO dan Pengasas Bersama GOAT dan Kevin Ma, CEO HYPEBEAST selaku sumber inspirasi utama mereka, CNCRD bersandarkan kepada misi untuk berkembang secara lestari sebagai sebuah syarikat dengan segmen-segmen perniagaan yang berkongsi sinergi yang hampir sama, di samping sentiasa menawarkan nilai terbaik buat para pengguna.

Matlamat jangka panjang CNCRD adalah menjadi sebuah konglomerat teknologi dan berkecimpung dalam pelbagai segmen teknologi dan landskap perniagaan digital yang lain. Untuk menguatkan lagi tenaga kerja mereka, Ryan dan Bryan telah melantik Ric Wang selaku Pengasas Bersama dan Pengarah Kreatif CNCRD.
"Dengan adanya Bryan, Ric dan tenaga kerja muda yang kreatif serta bersemangat tinggi lain di CNCRD, saya berharap untuk membangunkan dan mengukuhkan posisi kami sebagai sebuah pemain industri dalam arena tempatan dan serantau, serta memaksimakan pulangan para stakeholders CNCRD.
"Saya berpegang teguh bahawa keserasian dan sinergi kami adalah formula untuk bersaing dan membina budaya yang inovatif dan efisien dalam penyelesaian masalah.
"Seperti kelaziman budaya sneaker yang sedia ada, penting untuk kami mewujudkan “puak CNCRD” sebagai kumpulan sokongan. Kami telah merancang pelbagai aktiviti untuk berganding bahu dengan tenaga-tenaga kreatif pelbagai disiplin daripada fesyen, seni, reka bentuk sehinggalah makanan dan sukan, untuk merancakkan lagi ruang fizikal kami.
"Pelancaran ruang pameran serta pusat beli belah kami baru-baru ini adalah manifestasi objektif CNCRD dengan kehadiran pelbagai figura penting daripada pelbagai industri kreatif sekitar KL.
"Perlu juga untuk saya kongsikan bahawa kami sedang membangunkan aplikasi CNCRD (dijangka siap menjelang suku ke-2 2023) namun sementara itu, sila layari laman web kami; dan jika anda berada di sekitar Damansara Heights, sila kunjungi ruang pameran kami dan kenali CNCRD dengan lebih lanjut!" kata Ryan menamatkan bicara.

#Viral #Gaya Hidup #Fesyen #Kasut #CNCRD #Sneaker
;