Laman Utama
Pendaftaran Vaksin Covid-19 Dibuka Kepada Orang Ramai Bermula Mac – Khairy Jamaluddin
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin mengumumkan proses pendaftaran sebagai penerima vaksin Covid-19 bagi orang ramai dijangka dibuka bermula Mac ini.
Pendaftaran tersebut juga akan dilaksanakan dengan konsep sukarela dan orang ramai yang ingin mendaftar, boleh berbuat demikian menerusi lima kaedah termasuk menggunakan aplikasi MySejahtera.
"Sekiranya tiada MySejahtera, orang ramai boleh mengakses laman sesawang (Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid19-JKJAV) yang akan dilancarkan Perdana Menteri pada minggu depan.
"Selain itu, talian hotline (nombor ditetapkan kemudian), pendaftaran secara manual di klinik dan hospital awam serta swasta dan kelima, jika berada di kawasan pedalaman, kita akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk mendaftarkan penerima termasuk warga emas," katanya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang disiarkan malam tadi, bertajuk "Vaksin: Kendurkan Ketegangan dan Kerisauan terhadap Covid-19."
Khairy yang Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan mengulangi program vaksinasi akan dimulakan dengan petugas barisan hadapan.
"Saya terima banyak permohonan supaya ditakrifkan (pemohon) sebagai 'frontliners' namun kita akan menilai setiap permohonan.
"Saya boleh sahkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) adalah orang pertama akan menerima vaksin Pfizer dan kemudiannya Ketua Pengarah Kesihatan (Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah), doktor, jururawat dan lain-lain lagi. Menteri-menteri kemudian sikit," katanya.
Pada 8 Januari lalu, Khairy mengumumkan vaksin Pfizer-BioNTech berjaya didaftar oleh Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sekali gus memberi kelulusan bersyarat untuk penggunaan vaksin itu di negara ini.
Selain Malaysia, 49 negara lain turut memberi kelulusan terhadap vaksin berkenaan dengan sebahagian negara terbabit mula menggunakan vaksin itu.
Untuk rekod, vaksin Pfizer menjadi vaksin Covid-19 yang pertama mendapat perakuan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk kegunaan kecemasan.
Sumber: Harian Metro