Berita
Penduduk Ipoh Cemas Rasa Gegaran, Bunyi Letupan Kuat
Satu gegaran kuat dilaporkan berlaku di kawasan sekitar Ipoh, di sini, 11.06 pagi, hari ini, disusuli bunyi kuat hingga menimbulkan rasa cemas dalam kalangan penduduk bandar raya ini.
Cemas Bunyi Dentuman Kuat
Seorang penduduk, M Diviya, 30, berkata, dia dan rakan sekerja berlari keluar dari pejabat mereka di Medan Istana, Ipoh sebaik merasai gegaran terbabit.
"Ketika kejadian, saya sedang lakukan kerja di bilik. Tiba-tiba, saya rasa bangunan bergegar, pintu kaca seakan hendak pecah.
"Dalam masa sama, saya terdengar bunyi seakan dentuman dari bahagian atas bangunan, jadi kami terus berlari keluar dari pejabat kerana risaukan keselamatan diri.
"Saya sudah hubungi Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) untuk maklumkan kejadian ini," katanya.
Macam Bunyi Bom
Seorang lagi saksi, Noor Zaiti Nabilah Ahmad, 32, berkata, dia turut berlari keluar dari pejabat guaman di Medan Istana, Ipoh sebaik merasai gegaran itu.
"Apabila dengar bunyi yang kuat, terlintas di fikiran saya itu mungkin bunyi bom. Kami rasa amat terkejut.
"Sepanjang enam tahun bekerja di sini, inilah kali pertama saya rasai pengalaman begini," katanya.
Tinjauan di media sosial mendapati pengguna mendakwa gegaran terbabit dirasai sehingga di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Chemor, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora.
"Seram betul, baru sekejap tadi bergegar bangunan. Macam bunyi letupan kuat," kata seorang pengguna Facebook, Ayu Balqishah.
Sumber: Harian Metro