Laman Utama
Penerbit Drama Sumbang Keperluan Ibadah Ke Hospital - "Kita Beri Senyuman Kepada Frontliner Tapi Tak Lupa Juga Pesakit"
Melihatkan kepada wabak pandemik yang masih belum reda ini, sebenarnya banyak keperluan yang berkurangan.
Ramai yang menumpukan kepada barangan makanan sebagai asas utama dalam kehidupan. Namun keperluan harian juga penting.
Tidak terkecuali ikon usahawan, Ustaz Al Fadzil Mohd Hidzir yang juga merupakan Penerbit Eksekutif Kembara Sufi Production Sdn Bhd sama-sama turun padang memberikan bantuan kepada pihak yang memerlukan.
"Acara sebegini memang sudah kita lakukan saban tahun sejak dahulu lagi. Kalau dahulu kita memberikan tumpuan kepada keluarga yang memerlukan, tapi kini kita beri keutamaan kepada Unit Hospital Mesra Ibadah, Hospital Sultan Haji Ahmad Shah Temerloh (HOSAS)," katanya.
Hasrat itu tercetus selepas terlihat iklan pesakit hospital yang memerlukan barangan keperluan untuk beribadah.
Antara barangan yang disumbangkan kepada Timbalan Pengarah 3 hospital berkenaan, Dr. Safaridah Anuar termasuklah spray mesra solat lebih 100 botol, debu tayamum 200 botol , 70 biji troli dan wang tunai sejumlah RM7,000 untuk kegunaan Ramadan kali ini.
"Kita beri senyuman kepada petugas barisan hadapan tetapi dalam masa yang sama kita mahu pesakit juga diraikan. Dengan adanya kelengkapan ibadah sebegini, akan memudahkan lagi mereka untuk menunaikan kewajipan kepada Allah.
"Bila mereka diuji dengan kesakitan, agak membataskan pergerakan. KS Legacy berharap agar dengan sumbangan ini akan memudahkan urusan semua yang berada di wad dan sebagainya," tambah Al-Fadzil lagi.
Dalam pada itu, sumbangan makanan dan barangan keperluan harian akan terus diberikan setiap hari kepada anak yatim, fakir miskin dan mereka yang memerlukan sepanjang Ramadan ini.
Menyasarkan 100 bungkus makanan diberikan kepada petugas barisan hadapan dan pelawat di semua hospital dalam beberapa daerah di Pahang, 150 beg bantuan asas juga diberikan kepada keluarga yang memerlukan.
"Kita beruntung kerana ada pihak yang sudi memberikan sumbangan untuk sama-sama melalukan kerja kemasyarakatan sebegini. Sebenarnya acara ini kita lakukan setiap tahun termasuklah ketika musim banjir. Segala sumbangan dan kerjasama yang diberikan diharapkan menjadi ibadah yang berkekalan kita disisi Allah swt.
"Kalau ada yang berminat untuk turut serta, kami alu-alukan sumbangan anda. Kita beri mereka senyuman dalam bulan yang penuh dengan kemuliaan ini," yang sudah menerbitkan banyak program TV seperti Travelog Backpakers Ke Balkan, Terlajak Subuh, Dia Kembarku dan banyak lagi.
Bagi mereka yang mahu menghulurkan sumbangan boleh menghubungi talian 0132988303 dan 0193026460 dalam program usaha amal bersama Kembara Sufi.