Viral
Penganjuran Havoc Food Festival Dihentikan Serta Merta
Penganjuran Karnival Havoc Food Festival yang diadakan di tempat letak kereta Sama Square di Setapak sejak 9 Januari dan dijangka tamat esok, diarah dihentikan bermula hari ini, kata Ahli Parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad.
Punca kesesakan lalu lintas melampau di kawasan perumahan
Nik Nazmi menerusi satu kenyataan hari ini memaklumkan arahan itu dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana penganjurannya tidak mendapat lesen hiburan semasa daripada pihak berkuasa tempatan berkenaan.
"Susulan kesesakan lalu lintas melampau yang telah mengganggu penduduk di kawasan terbabit, pejabat saya telah menyusuli dengan tindakan kepada pihak berkuasa,” katanya.
Nik Nazmi yang juga Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut memaklumkan bahawa permohonan penganjur untuk mendapatkan lesen bagi mengadakan festival itu sebelum ini telah ditolak sebanyak dua kali disebabkan permohonan lewat dan aduan daripada penduduk setempat berkaitan masalah lalu lintas.
"Pihak penganjur diingatkan untuk tidak mengulangi kesalahan terbabit dan mengambil maklum situasi penduduk setempat sebelum menganjurkan apa-apa acara yang boleh mengganggu orang awam,” katanya.
Tular di media sosial sejak 9 Januari lepas apabila rata-rata penduduk di sekitar kawasan itu meluahkan reaksi negatif kerana terpaksa menempuh kesesakan lalu lintas hampir dua jam yang berpunca daripada penganjuran karnival berkenaan.
Sumber: Sinar Harian menerusi Bernama