Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pengarah Ulas Babak Berpelukan Aliff Aziz & Intan Najuwa - "Mereka Hidupkan Feel Suami Isteri, Saya Mohon Maaf"

Amri Hassan 18/07/2022 | 07:55 MYT

Pengarah drama Jodohku Babysitter, Hadith Omar tampil menjawab susulan video viral aksi Aliff Aziz dan Intan Najuwa berpelukan di Genting Highlands baru-baru ini.

Jelas Hadith, video yang dirakamkan oleh orang awam dan ditularkan di media sosial itu merupakan salah satu babak lakonan mereka dalam drama terbabit.
"Daripada video itu sendiri kita boleh tengok ia adalah rakaman orang awam ketika penggambaran salah satu babak dalam Jodohku Babysitter.
"Babak itu adalah dimana Adam (Aliff) sedang memujuk Adel (Intan). Rasanya ia adalah sikap semulajadi untuk suami isteri yang tengah memujuk dan melakukan babak sedemikian," ujarnya.
Jelas Hadith lagi, hubungan Aliff dan Intan bersifat profesional serta punyai chemistry yang baik antara mereka.
"Banyak saja drama lain yang memaparkan adegan peluk untuk watak suami isteri. Cumanya video ini viral tanpa dijangka kerana status Aliff sebagai suami orang dan Intan sebagai berstatus bujang.
"Apa yang boleh saya katakan, hubungan Aliff dan Intan di set penggambaran sangat profesional, mereka sangat menghormati satu sama lain serta pelakon lain. Chemistry sangat bagus!
"Hubungan dengan kru pun bagus, kami semua dapat rasakan feel kekeluargaan itu, sebab itu juga pelakon selesa untuk melakonkan babak sedemikian juga," tambahnya.
Terdahulu, tular sepotong klip memaparkan aksi mesra Intan dan Aliff yang kelihatan seakan-akan berpelukan di pusat peranginan tanah tinggi ketika penggambaran Jodohku Babysitter minggu lalu.
Intan tampil menjelaskan keadaan bahwa babak berpelukan itu sebahagian daripada penggambaran drama rantaian yang sedang ditayangkan ketika ini.
Justeru, Hadith memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi melulu sekali gus memohon maaf terlepas pandang dengan adegan bersentuhan seperti yang tular itu.
"Ini salah satu silap saya kerana saya memberikan kebebasan dan pelepasan kepada pelakon untuk melakonkan apa yang mereka selesa dalam sesuatu babak. Sebab saya mahukan natural daripada lakonan mereka.
"Saya juga rasa Aliff dan Intan melakonkan babak tersebut demi menghidupkan feel sebagai pasangan suami isteri, tidak lebih daripada itu. Mereka selesa sebab chemistry dan kepercayaan antara satu sama lain. Kita sesama kru pun ada respek sesama sendiri.
"Kami pun terlepas pandang, saya terlupa batasan agama dan pergaulan. Daripada set itu saya memohon maaf kepada pihak yang tersinggung daripada video berkenaan. Apa yang boleh saya katakan apa yang berlaku atas dasar profesional, tiada niat lain dan ia tidak disengajakan tular.
"Sepanjang penggambaran kami cuba sebaik mungkin melakonkan babak sweet dengan batasan. Cuma babak itu saya terkhilaf, kita tak boleh salahkan pelakon kerana mereka menjalankan tanggungjawab mereka," ujarnya.
Tambah Hadith, penularan klip itu menjadi pengajaran buat produksinya agar lebih berhati-hati dan peka dengan sensitiviti.
"Ini juga menjadi pengajaran kepada produksi kami untuk lebih sensitif dengan isu batasan pergaulan. Saya juga tak sempurna, semua orang melakukan kesilapan, saya belajar daripada isu ini. Ini peringatan kepada saya untuk menjaga batasan pergaulan. Apa yang dilakukan untuk menghidupkan watak.
"Saya mohon maaf atas apa yang berlaku, tidak ada apa-apa agenda lain, itu tugasan profesional mereka. Semoga terus menyokong drama Jodohku Babysitter kerana penuh dengan nilai kekeluargaan dan pengajaran. Yang baik dan yang kecam kami jadikan pengajaran," tuntasnya.
Selain Intan dan Aliff, drama bersiri 20 episod ini turut dibintangi barisan pelakon hebat seperti Yuna Rahim, Ellyas Abdullah, Natasha Elyzza, Sharifah Shahora dan ramai lagi.
Jodohku Babysitter ditayangkan pada setiap hari Isnin hingga Khamis, jam 10.00 malam mulai 6 Julai 2022 secara eksklusif di slot MegaDrama melalui saluran Astro Ria (104) serta turut boleh distrim menerusi On Demand di Astro Box dan aplikasi Astro GO untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Dapatkan Pek Primary Astro serendah RM59.99 sebulan secara online di astro.com.my untuk menikmati drama ini di Astro.

#Viral #Aliff Aziz #Drama #Genting Highlands #Hadith Omar #Intan Najuwa #Jodohku Babysitter #Peluk
;