Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pengguna iOS Boleh Mendaftar Untuk Vaksin COVID-19 Di Aplikasi MySejahtera Bermula Hari Ini

Azwa Rahman 23/02/2021 | 14:50 MYT
Pendaftaran untuk Program Imunisasi Vaksin COVID-19 Kebangsaan sudah boleh dilakukan bermula hari ini.
Tetapi setakat ini ia hanya terbuka untuk pengguna iOS dan aplikasi MySejahtera anda sudah dinaiktaraf kepada versi 1.0.28.
Menurut portal teknologi Soya Cincau, buat masa ini masih belum ada kemaskini untuk pengguna Android, dan versi terbaharu sistem operasi itu akan dikeluarkan dalam masa terdekat.
Semakan mendapati terdapat pilihan baharu di ruangan muka hadapan MySejahtera iaitu COVID-19 Vaccination.
Selepas anda memilih tetapan berkenaan, anda akan dibawa ke satu halaman untuk memeriksa dan mengesahkan butiran peribadi anda – nama, nombor kad pengenalan serta ID Mysejahtera.
Menurut halaman itu, anda perlu memastikan butiran pendaftaran pada nama, termasuk Bin, Binti, A/P dan A/L.
Selepas itu, pegawai daripada Kementerian Kesihatan Malaysia akan mengesahkan maklumat itu sebelum anda dibenarkan mengambil suntikan vaksin COVID-19.
Anda kemudian dimaklumkan ketika ini merupakan fasa satu untuk pemberian COVID-19 dan akan ada notifikasi di aplikasi MySejahtera sekiranya fasa seterusnya akan bermula.
Sementara itu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin berkata terdapat beberapa cara untuk pendaftaran imunisasi selain menggunakan aplikasi MySejahtera, iaitu laman web khas di bawah JKJAV, talian hotline dan pendaftaran secara manual.
Selain itu, kerajaan Persekutuan juga akan mengadakan kerjasama strategik dengan kerajaan-kerajaan negeri untuk memastikan golongan warga emas, terutamanya yang tinggal di kawasan pedalaman, tidak ketinggalan dalam program imunisasi tersebut.
Kredit foto: Utusan
#MySejahtera #Vaksin Covid-19 #Pengguna iOS
;