Viral
Pengikut Bertambah, Aswat Sanggup “Upgrade” Trek Lumba Siput Sedut
Dari lima penonton ke puluhan ribu penonton, pemilik TikTok @tansri_ash, Muhammad Aswat Azdha Idris sendiri tidak menyangka bahawa content lumba siput sedut itu berjaya menarik minat warganet.
Ilham tiba-tiba
Menurut Aswat idea untuk membuat lumba siput sedut itu berlaku tanpa dirancang.“Sebenarnya semua itu berlaku secara tiba-tiba semasa saya sedang membuat siaran langsung di laman Tiktok,
“Ibu saya ada beli Siput dari orang kampung jadi semasa tengah live tu ada siput yang terkeluar daripada plastik dan mahu terjatuh.
“Saya pun amik siput itu letak di depan live dan tiba-tiba live saya yang mula hanya ada lima orang sahaja mula naik sedikit demi sedikit, jadi ibu memberi idea untuk mengambil dulang di dapur untuk dijadikan sebagai trek buat siput-siput itu berlumba,” katanya kepada Gempak.
Upgrade trek lumba
Pemuda berusia 29 tahun itu juga berkata, sejak siaran langsung yang dilakukan pada tiga hari lepas pengikutnya sudah bertambah sehingga 50,000 pengikut.
Pada masa sama, Aswat juga menyatakan untuk siaran langsung malam ini dia sudah pun membuat sedikit persediaan untuk menambah baik trek siput sedut tersebut.
“Sejak viral hari tu, pengikut saya sudah bertambah lebih daripada 50,000 pengikut berbanding 6,000 pengikut sahaja.
“Malam ini mungkin akan bertambah lagi, tapi sekarang saya sedang membuat persiapan untuk upgrade trek lumba siput tersebut kalau nak tahu kena masuk live malam ini,” ujarnya.
Difahamkan, konsep perlumbaan dibuat seperti Sukan Malaysia (Sukma) iaitu penyertaan mengikut negeri seperti Pahang, Kedah, Johor, Pulau Pinang dan lain-lain.