Hiburan
Pengurus Kongsi Reaksi Pertama Siti Nurhaliza Ketika Terima Berita Anugerah Biduanita Negara - “Saya Ambil Masa Empat Hari Untuk..”
Pengurus kepada Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza iaitu Rozi Abdul Razak berkongsi video reaksi pertama penyanyi itu ketika mengetahui bakal menerima Anugerah Khas Biduan Negara.
Menerusi video berdurasi 2 min 21 saat itu, Siti atau nama penuhnya, Siti Nurhaliza Tarudin kelihatan terkejut ketika membaca ucapan yang diterimanya daripada ementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) pada bulan Oktober lalu.
Menurut Rozi, atau nama sebenarnya Rozi Abdul Razak, dia telah menyimpan amanah tersebut selepas pihak MOTAC memberitahunya tentang pelantikan Datuk Seri Siti Nurhaliza sebagai Biduanita Negara.
Tambahnya lagi, dia mengambil masa selama empat hari untuk merancang bagaimana mahu memberitahu penyanyi nombor satu Malaysia itu tentang pengiktirafan khas yang diterimanya melalui Anugerah Seni Negara 2024.
“Apabila saya dihubungi wakil dari Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya ( Motac) sekitar Oktober lalu, saya terdiam. Saya fikir dalam-dalam dan menyimpan amanah dan kerahsiaan ini.
“Panjang pertanyaan dan penjelasan yang saya mohon daripada wakil Motac supaya segalanya saya faham, terutama proses, prosedur pemilihan dan sebagainya supaya saya mendapat maklumat yang tepat sebelum berkongsi berita ini dengan Dato' Sri Siti Nurhaliza.
“Saya sendiri tidak tahu kenapa saya mengambil masa empat hari sebelum memberitahu kepada tuan punya badan bakal penerima anugerah khas di Anugerah Seni Negara 2024. Ketika itu saya dimaklumkan Biduan Negara sebagai nama anugerah dan Siti diwatikahkan sebagai Biduanita Negara.
“Itulah reaksi awal Siti apabila beliau harus membaca apa yang terpapar pada skrin telefon mengenai penganugerahan Biduanita Negara kepada beliau,” katanya menerusi kapsyen di Instagram.
Rozi atau lebih mesra disapa sebagai Kak Z tersebut sempat berkongsi perasaan terharunya selepas Siti Nurhaliza diwatikahkan sebagai Biduanita Negara.
Dia juga meluahkan rasa syukur dan bangga melihat segala pencapaian penyanyi Kau Kekasihku itu sepanjang kerjayanya dalam bidang seni.
Namun, Rozi menekankan bahawa kejayaan ini tidak mengubah komitmen dan dedikasi Siti Nurhaliza terhadap kerjaya dan seninya, kerana segala perancangan kerjaya untuk tahun-tahun mendatang telah disusun dengan rapi.
Meskipun sudah saling mengenali selama 33 tahun, dia tetap mengambil kesempatan untuk mengucapkan tahniah serta memberikan kata-kata semangat kepada Biduanita Negara itu agar terus berusaha dan mencipta kejayaan lebih hebat lagi.
“Saya memang jarang memuat naik video pelbagai momen, banyak yang tersimpan di galeri telefon bimbit sahaja tetapi momen yang satu ini, saya kongsikan sebagai kenang-kenangan.
“Saya bersyukur kerana inilah catatan perjalanan yang tertulis buat beliau. Tidak ada apa-apa yang berubah kerana sebelum mengetahui beliau mendapat gelaran tersebut, jadual perancangan 2025-2026 sudah terlakar.
“Terus bekerja dan berkarya kerana itulah cinta beliau. Tahniah boss. 33 tahun saling mengenal, 29 tahun berganding bersama dalam kerjaya,” jelasnya.
Terdahulu, penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan rasa syukur atas penerimaan penganugerahan Biduanita Negara sempena Anugerah Seni Negara 2024.