Hiburan

Penyanyi Baru Layla Sania Luah Rasa Kecewa Dalam Lagu

Kamaruddin Razal
20/07/2019
23:00 MYT
Sponsor Banner
Penyanyi Baru Layla Sania Luah Rasa Kecewa Dalam Lagu
Penyanyi baru yang bernaung di bawah Warner Music Malaysia, Layla Sania tampil dengan single debut berjudul Que Sera Sera.
Lagu yang diberi judul Que Sera Sera ini mengambil ungkapan dari bahasa Sepanyol yang membawa maksud ‘Apa yang akan terjadi, pasti terjadi’.
Que Sera Sera merupakan karya ciptaan Layla sendiri bersama bapanya Khairuzikri yang menggunakan nama pena, Mystictune.
Menjanjikan suatu kelainan daripada muzik di pasaran arus perdana, lagu rancak yang menyuntik elemen muzik jazz dan blues ini mendapat sentuhan figura muzik terkenal AG Coco sebagai penerbit.
Sungguhpun begitu, lagu yang berentak rancak ini diisi dengan bait-bait lirik yang bercerita tentang cinta dan kecewa. Lirik yang ditulis oleh Zazaez ini terhasil daripada kisah peribadi Layla sendiri.
"Lagu ini ditulis ketika saya baru mengenal erti cinta dan kecewa di usia remaja. Lirik lagu ini ditulis lebih kepada pesanan peribadi kepada rakan sebaya yang baru nak mengenal erti kehidupan.
"Mesej yang ingin saya sampaikan adalah cinta memang indah, namun ia bukan segala-galanya. Diri sendiri adalah lebih berharga. Sebagaimana cinta boleh datang dan pergi, hidup ini juga ada pasang surutnya.
"Setiap yang Allah tetapkan terjadi, pasti akan terjadi. Sebaiknya kita laluinya sehabis baik dan serahkan pada Yang Maha Esa," kata Layla dalam sebuah kenyataan media.
Menerusi Que Sera Sera, Layla memberikan sajian muzik segar dan penyampaian unik sebagai santapan halwa telinga. Penyanyi muda berusia 17 tahun berpotensi besar ini berharap agar taruhan pertamanya ini mendapat reaksi positif peminat muzik tempatan sekaligus memeriahkan lagi industri muzik tanah air.
Single Que Sera Sera terbitan dan edaran Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 19 Julai 2019.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar