Hiburan
"Penyanyi Veteran Sepatutnya Dibayar RM10,000 Satu Show" - Khadijah Ibrahim
Bintang yang mencipta legasi di pentas muzik sejak era 1970-an, Datuk Khadijah Ibrahim, 65, berpendapat penyanyi veteran wajar dibayar sekurang-kurangnya RM10,000 bagi setiap persembahan sesuai dengan merit dan kepakaran dimiliki.
Khadijah yang terkenal dengan rangkaian lagu pop dan balada malar segar termasuk sentuhan Tan Sri Ahmad Nawab menganggap bayaran minimum itu relevan berdasarkan pengalaman dimiliki bintang veteran.
BERITA TRENDING: Khadijah Ibrahim Jawab Rungutan Netizen! – “Tak Adil Kalau Saya Tekankan Pada Teknikal, Kerana Mereka Penyanyi Profesional
Sehubungan itu, Khadijah atau mesra disapa Khaty berpendapat tidak adil apabila masih ada penganjur acara suka mengambil kesempatan dan memperlekehkan status bintang veteran dengan menawarkan kadar bayaran rendah.
"Tidak patut artis veteran dibayar rendah kerana mereka ada kelebihan dari segi pengalaman. Mereka boleh menyanyi dan menyampaikan lagu dengan baik.
"Kalau saya pengurus, jika artis dibayar sebegitu, saya tidak benarkan mereka menyanyi. Itu bukan nilai mereka, kadarnya lebih daripada itu," katanya kepada Berita Harian.
Berkongsi pengalaman, Khadijah berkata, beliau mementaskan konsert untuk penyanyi legenda di ibu negara, baru-baru ini dan melalui acara itu, beliau tahu kadar bayaran setimpal bagi setiap artis veteran yang mengambil bahagian.
"Kita harus beri harga berpatutan sesuai status bintang. Bayaran serendah RM200 hingga RM300 bukan untuk mereka, dia bukan budak baharu menyanyi.
"Andai budak baharu pun, saya tidak benarkan mereka dibayar RM200 hingga RM300. Saya fikir itu terlalu murah untuk mereka.
"Kita harus beri pengiktirafan kepada mereka yang berkecimpung dalam bidang seni suara selama berpuluh-puluh tahun," katanya.
Khadijah yang terkenal dengan lagu Ku Pendam Sebuah Duka menganggap pandangan semakin berusia seseorang artis, maka kadar bayaran lebih rendah, sebagai suatu kesilapan.
"Jika diberi token misalnya, untuk dua atau tiga lagu kadar bayaran diberi RM5,000 hingga RM8,000 tidaklah teruk sangat.
"Andai RM200 hingga RM300 tidak berbaloi, kasihanilah mereka. Sebenarnya, makin lama bertambah pengalaman dan lebih mahal harga atau nilai artis veteran. Kenapa pula lebih lama, lagi murah?
"Mencari pendapatan sekarang tidak boleh dibandingkan dengan dahulu di mana gaji kita tinggi dan barang murah. Sekarang, kalau dapat gaji sama, harga barang naik tiga hingga empat kali ganda," katanya.
BERITA TRENDING: Ada Yang Kurang Selesa Bila Ibu Kathy Tanya Pasal Sponsor Baju? Ini Penjelasannya...
Khadijah mempersoalkan sikap segelintir penganjur yang sanggup berhabis membawa artis dari luar negara membuat persembahan di Malaysia.
"Kalau artis luar negara datang, kita boleh bayar berjuta-juta untuk mereka buat persembahan dengan harga tiket beribu-ribu ringgit. Jadi, apalah sangat RM10,000 untuk artis kita?" katanya.
BERITA TRENDING: "Tiada Lagu Baru Tak Mengapa, Jangan Tiada Kerja" - Khadijah Ibrahim
BERITA TRENDING: Hetty Koes Endang Juri Tetap GV6, Gantikan Datuk Khadijah Ibrahim... Ini Sebabnya!
Khadijah sedar segelintir artis veteran berdepan kepayahan dan masalah kewangan, sanggup menerima bayaran rendah.
"Disebabkan itu, Persatuan Karyawan Malaysia (KARWAYAN) bercadang mementaskan konsert lebih besar untuk rakan seperjuangan saya," katanya.
Bagaimanapun, Khadijah yang aktif dalam KARYAWAN, bersyukur tidak pernah berdepan penganjur acara yang menawarkan kadar bayaran tidak berpatutan kepadanya.
"Seumur hidup saya tidak pernah berdepan bayaran sebegitu (tidak setimpal). Kalau dia mahu bagi RM200 sehingga RM300, saya katakan lebih baik saya sedekah suara ini untuk anda," katanya.
Sumber: Berita Harian