Laman Utama
Perdana Menteri Ucap Tahniah Kepada Adik Maryam Muzamir Harumkan Nama Malaysia
Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berbangga dan mengucapkan tahniah kepada Maryam Muzamir atas kejayaannya memenangi tiga pingat emas dalam Pertandingan Inovasi dan Reka Cipta Antarabangsa Kanada ke-6 (iCAN 2021), di Toronto, Kanada, Ogos lalu.
Maryam, 11, merupakan seorang pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Perempuan Methodist, Kuantan Pahang telah mengharumkan nama negara dengan inovasi makanan haiwan yang diperbuat daripada kulit siput sedut dan kulit udang.
"Syabas dan tahniah kepada adik Maryam Muzamir, 11 tahun, yang berjaya merangkul 3 pingat emas dalam The 6th International Invention, Innovation Competition (iCAN) 2021 di Toronto, Kanada.
"Adik Maryam telah mengharumkan nama Malaysia melalui inovasi makanan haiwan yang diperbuat daripada siput sedut dan juga kulit udang. Ia merupakan pertandingan inovasi dan reka cipta terbesar di benua Amerika Utara," katanya menerusi Facebook.
Dalam pada itu, Perdana Menteri turut menyebut tentang Maryam yang mendapat perhatian dalam siaran rancangan TV popular, The Late Late Show with James Corden, selain mendoakan pelajar itu mendapat lebih kejayaan pada masa akan datang.
"Malah, Adik Maryam turut mendapat perhatian dunia melalui siaran Rancangan TV terkemuka, The Late Late Show with James Corden.
"Adik Maryam bukan sahaja mengenepikan 600 peserta lain dari 70 negara, tetapi dia juga menjadi pemenang termuda dalam pertandingan tersebut.
"Keluarga Malaysia amat berbangga dengan pencapaian adik Maryam dan saya mendoakan adik Maryam terus menempa lebih banyak kejayaan pada masa hadapan," katanya lagi.
Inovasi makanan haiwan daripada kulit siput sedut dan udang itu dinamakan YAM 2.0 bertujuan untuk menjaga alam sekitar.
Gempak cuba menghubungi bapa Maryam, Prof Madya Dr Muzamir Hasan namun tidak mendapat sebarang respon setakat artikel ini ditulis.