Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Gaya Hidup

Pereka Fesyen Bianca Bella Terkesima Tengok Siti Nurhaliza Sarung Baju Rekaannya Di Konsert Mega! - "Tak Terlintas Di Fikiran ..."

Amri Hassan 15/03/2024 | 05:51 MYT
Tiada kata-kata mampu diungkapkan pereka fesyen muda, Amirul Safwan ketika melihat penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menyarung busana rekaannya di pentas konsert Sebuah Epitome Saya Siti Nurhaliza baru-baru ini.
Pengasas jenama Bianca Bella itu merendah diri dan terharu apabila mustika hati rakyat Malaysia itu diberikan kepercayaan mereka busana beliau.
"Segalanya bermula ketika kami diberi kepercayaan menyiapkan baju TokTi pada persembahan sempena tahun baru dan melawat Melaka 2024 lalu, di situ detik perkenalan bermula.
"Bila mendapat peluang untuk menyediakan busana sempena konsert TokTi saya dan pasukan tahu ini peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan," katanya.
Digelar Adik Bianca oleh Siti Nurhaliza, Amirul berkata baju berkenaan disiapkan dalam tempoh sebulan serta dibantu Shafik Izzuddin dan Norshazratul Aisyah.

A post shared by ?????????? “???? ?? ?????” (@_biancabella)

Katanya, warna dan material yang digunakan bagi busana itu ialah songket tempatan yang dipilih sendiri oleh Siti Nurhaliza.
"Memang teruja pada masa sama gementar maklumlah kami masih setahun jagung tapi diberi kepercayaan oleh penyanyi hebat seperti TokTi.
"Jujurnya tujuh tahun pengalaman dalam bidang ini saya tidak pernah terlintas akan jahit dan reka pakaian untuk TokTi, ini semua rezeki sangat bermakna," katanya.
Bianca Bella beroperasi di Duyung, Melaka sudah dua tahun aktif dan menawarkan koleksi rekaan baju eksklusif terutama untuk raja sehari.
Lebih bermakna apabila baju rekaannya itu mendapat pujian ramai termasuk netizen yang menyifatkan ia antara yang terbaik pernah disarungkan oleh penyanyi tersohor itu.
Untuk rekod, perkongsian Siti Nurhaliza pada hantaran di akaun Instagram miliknya mendapat hampir 40,000 tanda suka dengan 400 komen.
Bercerita lanjut, Amirul mengakui terharu dan kagum dengan sifat merendah diri Siti Nurhaliza. Malah, kerjasama mereka sangat mudah dan menyenangkan.
"Semua proses berjalan dengan lancar dan mudah. TokTi sangat profesional dan tahu apa yang diinginkan oleh dirinya.
"Bagi kami pastinya berusaha mahu memberikan yang terbaik, Alhamdulillah dengan reaksi positif yang diterima lebih-lebih lagi untuk orang baru seperti kami.
"Kami masih baru, ini permulaan yang sangat bermakna dan indah buat kami. Terima kasih kepada Datuk Seri Siti Nurhaliza, Kak Rozie dan pasukannya yang percaya pada kami.
"Pastinya pengalaman ini sangat berharga buat Bianca Bella dan menjadi pemangkin untuk kami terus menjadi lebih baik," katanya.

A post shared by ?????????? “???? ?? ?????” (@_biancabella)

Baju rekaannya dalam rona emas merah hati gelap, digayakan oleh Siti Nurhaliza pada segmen Bayu Timur di konsert yang berlangsung pada 9 Mac lalu di Axiata Arena, Bukit Jalil.
#Viral #Pereka Fesyen #Fesyen #Siti Nurhaliza #Melaka #Songket #Axiata Arena #Bianca Bella #Konsert Epitome
;