Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pergerakan Hanya Dalam 10km, Sekatan Penuh Bermula Hari Ini

Syafiqah Jalal 01/06/2021 | 04:57 MYT
Perhatian! Jika anda keluar rumah untuk membeli barang keperluan hari ini, pastikan pergerakan anda tidak melebihi radius 10 km dari kediaman atau anda akan diarah berpatah balik.
Itu antara sekatan yang berkuat kuasa sepanjang tempoh 14 hari sekatan pergerakan penuh fasa pertama yang bermula hari ini hingga 14 Jun, sebagai langkah untuk melandaikan semula keluk penularan COVID-19 yang kembali melonjak sejak awal April lepas.
Seperti yang diumumkan kerajaan pada Ahad, sepanjang tempoh sekatan itu, semua aktiviti sosial adalah dilarang dan bagi sektor ekonomi pula hanya sebahagian kecil sahaja dibenarkan beroperasi.
Selain pergerakan hanya dalam lingkungan radius tersebut atau lokasi yang terhampir dengan kediaman jika terpaksa melebihi radius, kapasiti di dalam kenderaan persendirian juga terhad kepada dua orang isi rumah termasuk pemandu manakala bagi tujuan perubatan maksimum tiga orang termasuk pesakit.
Larangan merentas negeri dan daerah yang dikuatkuasakan sebelum ini juga kekal, malah larangan itu turut terpakai bagi pasangan jarak jauh (PJJ), kecuali membabitkan kes kecemasan seperti kematian serta ahli keluarga sakit, nazak dan sebagainya yang dibenarkan oleh Polis Diraja Malaysia.
Dalam tempoh itu, 80 peratus penjawat awam dan 60 peratus petugas sektor swasta diarahkan bekerja dari rumah manakala untuk surat kebenaran bekerja bagi sektor terlibat, sebuah pusat sehenti diwujudkan yang diselaraskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi mengeluarkan surat berkenaan.
Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu khuatir kerana restoran; gerai dan outlet makanan; dobi (termasuk layan diri); kedai penjagaan dan makanan haiwan; kedai cermin mata dan barang optik; kedai hardware (barangan logam); bengkel kenderaan, penyelenggaraan dan alat ganti; e-dagang (semua kategori produk) serta pemborongan dan pengedaran (semua kategori produk perkhidmatan perlu sahaja) dibenarkan beroperasi.
Pergerakan individu yang mempunyai urusan mendapatkan vaksin COVID-19 juga tidak memerlukan kebenaran polis sebaliknya hanya perlu menunjukkan maklumat janji temu dalam aplikasi MySejahtera.
Jadi, jalankan tanggungjawab kita - duduklah di rumah dan jika terpaksa keluar rumah atas urusan harian, penting atau kecemasan, patuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Hanya kita boleh jaga kita!
Sumber: Bernama
#Polis #sekatan #Lockdown #PKP #Radius
;