Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Permulaan Baharu..."- Azah Kembali Ke Malaysia Selepas Lebih 20 Tahun Menetap Di Kanada

Syafiqah Jalal 16/07/2023 | 11:43 MYT
Pelakon era 90-an, Azah Aziz, mengakui bakal memulakan kehidupan baharu dengan berhijrah kembali ke Malaysia selepas lebih 20 tahun menetap di Montreal, Kanada.

Azah dan suami suaminya juga lelaki warga Perancis, Daud Leroy Abdullah serta tiga orang anaknya sudah berangkat sejak semalam.

"Selamat tinggal Montreal, untuk lebih baik.

"Permulaan yang baharu, selamat tinggal dan jumpa lagi. Saya akan merindui semua sahabat saya di Montreal," katanya.

Azah berkongsi perkara berkenaan di akaun Instagram miliknya.

Menerusi entri itu, dia memuat naik foto dan video bersama keluarga menunjukkan keberangkatan mereka di lapangan terbang serta ketika penerbangan.

Azah atau nama sebenarnya Norazah Aziz berkahwin dengan suaminya, Daud Leroy Abdullah pada 1995 dan sejak itu dia menetap di Montreal, Kanada.

Terdahulu, Azah ada memaklumkan dia dan keluarga akan berpindah ke Malaysia sekali gus menyambut baik keputusan kerajaan memberikan kewarganegaraan secara automatik melalui kuat kuasa undang-undang kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warga negara Malaysia yang berkahwin dengan pasangan bukan warganegara.

Azah bagaimanapun terlebih dahulu ke Dubai sebagai transit sebelum pulang ke Malaysia.

Dia juga sempat berseloroh mahu pindah ke Dubai jika orang Malaysia tidak menyambut kedatangannya untuk menetap di sini dengan baik.

"Perhentian pertama Dubai. Dubai akan menjadi rumah kedua saya.

"Kalau netizen Malaysia terlampau, kita lari pergi Dubai," katanya.

Azah dan suami dikurniakan tiga cahaya mata lelaki iaitu Aaron, 26; Ryan, 20; dan Justin, 17 tahun.

;