Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Pernah Cerai Tapi Jodoh Panjang, Linda Hashim & Beego Akhirnya Rujuk Semula - “Saya Buang Ego Diri & Bersihkan…”

Gempak 08/05/2023 | 05:50 MYT

Teka-teki mengenai pasangan selebriti hadir ke mahkamah baru-baru ini akhirnya terjawab apabila pelakon Linda Hashim mengesahkan dia dan suaminya, aktor Beego pernah bercerai talak satu pada 27 Mac lalu.

Bagaimanapun, Linda meluahkan rasa syukur apabila mereka bersepakat untuk menyelamatkan rumah tangga dengan rujuk semula ketika dalam edah pada 9 April lalu.

"Berkat bulan Ramadan dan jodoh kami masih panjang. Alhamdulillah, kami dapat menyelamatkan rumah tangga ini kerana berjaya buang ego masing-masing.

“Saya pun tak nak main-main benda ini (cerai). Tak ada siapa pun nak inginkan perceraian. Saya pun tak tahu hati berbolak-balik. Sebelum bercerai, kita pun dah ada kata putus sendiri sebenarnya.

“Tapi, saya terus berdoa, solat hajat sebab nak terbaik untuk kita dan diri masing-masing. Alhamdulillah, kuasa Allah pada bulan puasa pula dan doa memang mudah dimakbulkan.

“Lagi pula, setiap malam kita berdoa. Jadi, memang nampaklah ini semua jalan Allah, takdir Allah itu memang cantik. Dia bolak-balikkan hati kami dan dapat berbaik semula pada bulan yang baik (Ramadan).

“Jadi, benda ini memang keajaibanlah. Benda ini (jodoh) memang kerja Allah," katanya kepada Harian Metro.

Linda dan suaminya hadir bersama di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur, pagi ini bagi membatalkan tuntutan nafkah dan hak penjagaan anak mereka selepas rujuk semula.

Dalam pada itu, Linda berkata dia dan Beego juga mengambil pendekatan duduk berbincang berdua untuk memahami hati masing-masing dan diikuti anak-anak juga.

"Saya mengetepikan semua orang di sekeliling dan menyelesaikan masalah secara kami berdua saja. Ia penting kerana, dalam hal membabitkan rumah tangga ini sebenarnya hanya kita suami dan isteri saja yang tahu.

"Jadi, kalau nak buat keputusan itu biar antara kita berdua saja demi diri masing-masing, anak-anak dan keluarga. Alhamdulillah, anak-anak memang menjadi kekuatan kami. Insya-Allah, kami harap ikatan yang disambung ini berkekalan hingga ke akhir hayat.

"Saya buang ego diri dan betul-betul bersihkan hati dengan bermuhasabah diri untuk perkahwinan ini. Saya dan Beego, berjanji akan memperbaiki kelemahan diri kami demi ikatan perhubungan ini dan anak-anak yang masih kecil," katanya.

Untuk info, Linda dan Beego mendirikan rumah tangga pada 7 Jun 2013 dan dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu Jelita Clarissa, 9, Anggun Cassandra, 8, dan Indah Camelia, 4.

Sebelum ini media melaporkan seorang pelakon wanita turut berdepan masalah rumah tangga dan secara diam-diam hadir ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur di sini, pada 18 April lalu bagi menyelesaikan masalah rumah tangga dengan suaminya.

Sumber - Harian Metro

#Beego #Linda Hashim #Linda #Beego cerai #Beego Linda #Beego Linda rujuk
;