Laman Utama
Pernah Hidap Ketumbuhan Rahang, 'Dibuang' Universiti! Cerita Jatuh Bangun Dr Samhan Yang Viral Di TikTok!
Bangkit dan dikenali di era pasca COVID-19, pemilik 7 buah klinik dan pempengaruh terkenal, Dr Ahmad Samhan Awang, 37, mengakui perjalanannya bukan mudah untuk berada di tahap sekarang.
Pernah melalui detik cemas ketika nyawanya bagai telur di hujung tanduk ketika diuji dengan penyakit Ameloblastoma atau ketumbuhan rahang pipi sekitar tujuh tahun lalu.
“Kerana sakit dan memerlukan pembedahan Ameloblastama ini juga saya tidak dapat menghadiri majlis konvokesyen bagi ijazah perubatan saya di University Tanta di Mesir.
“Saya terpaksa pulang ke Malaysia untuk melakukan pembedahan yang memerlukan tulang rahang saya dibuang. Seterusnya diambil tulang betis bagi menggantikan tulang rahang.
“Pembedahan mengambil masa 12 jam dengan kos keseluruhan RM20,000. Ketika diuji itu saya sendiri pasrah kerana selama ini tidak mempunyai masalah kesihatan. Tuhan menguji tak pernah terhenti,” kata penerima TikTok Malaysia Popular Creator Award 2021 itu.
Leher ditebuk, minum susu melalui hidung
Menurut pengasas Forhimclinic.com itu lagi, fasa memeritkan baginya ketika selepas prosedur pembedahan membuang ketumbuhan itu.
"Saya tak boleh bercakap langsung sebab leher saya ditebuk di bawah kotak suara. Tak boleh makan kerana gigi diikat dan hanya minum susu melalui hidung selain membuang najis menerusi tiub. Bahkan saya tak boleh berjalan selepas tulang betis diambil.
"Pernah suatu ketika saya sesak nafas sekitar jam 3 pagi. Seksanya hanya Tuhan saja tahu. Saya yang tak boleh bersuara hanya mampu menggoncangkan katil sebagai isyarat. Mujurlah ia disedari jururawat yang membantu saya menyedut kahak dan saya kembali boleh bernafas,” katanya.
undefined
Dua kali gagal belajar jadi doktor, dibuang universiti
Malah, laluannya untuk bergelar doktor juga bukan mudah kerana harus melalui 10 tahun perjuangan dalam bidang perubatan.
“Dengan keputusan matrik 4 flat, syukur saya terus ditawarkan dalam bidang perubatan di sebuah universiti tempatan. Bagaimana ketika pengajian memasuki tahun ketiga dan keempat, saya gagal dua kali.
“Bererti kegagalan itu akan membuatkan saya ‘dibuang’ dari universiti dan tak boleh meneruskan bidang perubatan. Ibu bagaimanapun meminta saya membuat surat rayuan. Bagaimanapun rayuan itu ditolak bulat-bulat oleh dekan. Surat itu tidak dibaca, malah terus dibuang ke tong sampah.
“Ibu saya berlinang air mata. Namun saat itu, saya berjanji kepada diri untuk tidak lagi membiarkan air mata ibu menyentuhi bumi lagi disebabkan kegagalan saya,” katanya.
Dipendekkan cerita, saya berpeluang melanjutkan pengajian perubatan di Mesir pada 2010 dan memulakan tahun pertama di sana.
Rekod, edit video sendiri!
Menyingkap kerjayanya kini sebagai doktor dan pempengaruh, Dr Samhan menjelaskan ia bukan tugas mudah.
“Namun, saya gembira kerana impian jadi doktor dan memberi manfaat kepada orang ramai dalam masa sama dapat direalisasi. Dua tahun lalu juga saya menemui dan meneroka platform Tiktok.
“Saya juga harus membiasakan rutin merakam dan menyunting video sendiri. Malah tugas memuat naik di laman sosial juga saya lakukan sendiri.
“Tanpa diduga, kandungan yang saya muat naik mendapat tontonan berjuta-juta dan dikongsi ramai. Malah dalam tempoh enam bulan, saya meraih 1 juta pengikut di TikTok,” katanya.
Best Of Education, Anugerah TikTok 2023
Dr Samhan berkata lagi, dia gembira dan terharu kerana perkongsian bermanfaat dilakukannya menjadi asbab kebahagiaan orang lain.
“Ada yang komen mengucapkan terima kasih kerana perkongsian dibuat mengubah skala hidup mereka. Malah tak ketinggalan mendoakan apa saya lakukan sebagai asbab untuk masuk syurga.
“Justeru, kata-kata indah itu menjadi pembakar semangat untuk saya meneruskan apa yang dimulakan. Hidup saya seharian takkan lengkap tanpa memuat naik video bermanfaat. Jadi sekurang-kurangnya kena ada video manfaat setiap hari untuk dikongsi,” katanya yang berentap dalam kategori Best Of Education, Anugerah TikTok 2023 pada Ahad ini.
Mengulas mengenai pencalonan terbabit, Dr Samhan teruja dan akan terus berkongsi input berfaedah kepada pengikutnya biarpun kemenangan tidak berpihak kepadanya.
“Saya teruja dan bersyukur di atas pencalonan ini. Orang kata sudah tercalon itu cukup baik. Tapi kalau menang itu bonus. Namun menang atau kalah, bukan noktah untuk saya terus berkongsi perkara manfaat.
“Malah di sebalik ujian saya lalui, saya kenal erti untuk tidak putus asa. Ia kekuatan kita. Tak lupa minta dititipkan doa ibu yang diumpamakan seperti keberkatan dalam hidup kita,” katanya.
Hingga kini Dr Samhan mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok, 645,000 (Facebook),240,000 (telegram), 165,000 (Instagram) dan 70,000 (Twitter).