Laman Utama

Pernah Popular Dengan Kumpulan Acapella Bahiyya Haneesa, Syasya Hera Kini Bergerak Solo

Amri Hassan
24/07/2022
10:34 MYT
Sponsor Banner
Pernah Popular Dengan Kumpulan Acapella Bahiyya Haneesa, Syasya Hera Kini Bergerak Solo
Penyanyi Syasya Hera kini tampil dengan single terbaru berjudul ‘RUN’. Taruhan terbaru Syasya ini adalah satu langkah berani kerana ia adalah batu loncatan terhadap pergerakan kerjayanya secara solo.
Sebelum ini, Syasya bergerak dalam kumpulan acapella terkenal di Malaysia iaitu Bahiyya Haneesa.
Menurut Syasya, 26, single tersebut berperanan sebagai medium untuk dia mengekspresikan perasaan dan menemui identiti diri.
"’RUN’ tentunya sangat istimewa kerana ia merupakan single pertama saya sebagai Syasya Hera. Ini juga kali pertama saya dapat mengekspresikan perasaan dan personaliti diri saya menerusi lagu. Sebelum ini saya agak tercari-cari identiti diri, tapi dengan lagu ini, saya sudah bertemu dengan identiti itu.
"Lagu ini adalah tentang pengkhianatan. Ia seakan dialog atau mesej yang ingin disampaikan kepada seseorang yang telah mengkhianati kepercayaannya. Namun daripada memilih untuk sedih, dia sedar akan nilai dirinya dan membiarkan saja seseorang itu lari dari kesalahan," katanya.
Syasya bagaimanapun menegaskan masih bersama Bahiyya Haneesa yang ditubuhkan sesama rakan-rakannya di Universiti Malaya.
Bahiyya Haneesa turut dibintangi oleh tujuh lagi anggota lain iaitu Afi, Bonn, Wafa, Fatin, Nina, Bella dan Suha.

Tiga malam rakam lagu RUN

Bercakap tentang cabaran yang dialami ketika menghasilkan single tersebut, Syasya akui berhadapan masalah dari segi kekangan masa ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Malaysia.
"Satu-satunya cabaran yang dihadapi adalah kerana PKP ketika pandemik COVID-19. Sebenarnya lagu ini telah lama ditulis tetapi disebabkan kekangan pergerakan, ia mengambil masa yang agak lama untuk dihasilkan.
"Proses rakaman sahaja hanya tiga malam. Namun jika dicampur sekali dengan proses gubahan lagu hingga selesai penyuntingan, ia mengambil masa selama lapan bulan secara keseluruhan," jelasnya.

Syasya Hera takut mulakan kerjaya solo

Dalam pada itu, Syasya akui gugup dan takut untuk memulakan kerjayanya secara solo menerusi ‘RUN’, namun keberadaan rakan-rakan industri seperti Mingaling, Amir Hassan dan Ezra Kairo di studio rakaman telah membuatkan dia lebih bersemangat.
"Momen istimewa bagi saya ketika merakam lagu ini adalah kerana adanya Mingaling, Amir Hassan, Ezra Kairo dan mereka yang berada di studio ketika itu. Sejujurnya saya amat gugup dan takut untuk memulakan perjalanan saya sebagai seorang artis solo, Syasya Hera dan bukan sebagai Syasya ahli Bahiyya Haneesa.
"Saya masih baru dalam industri, banyak lagi perkara yang perlu saya belajar. Meskipun begitu, setiap daripada mereka yang berada di studio amat positif dan memberi semangat sepanjang rakaman. Masing-masing menyumbang idea, kemudian teruja dengan hasilnya. Momen sebegitulah sangat istimewa dan sukar untuk saya lupakan," katanya.
Justeru, Syasya berharap agar single ‘RUN’ diterima baik oleh orang ramai, sekaligus dapat dijadikan inspirasi kepada mereka semua.
"Harapan saya adalah semoga peminat dapat menerima lagu ini dengan baik dan menjadikannya sebagai sesuatu yang menyuntik semangat serta keyakinan diri.
"Semoga mereka dapat menghayati lagu ini dan ingat bahawa diri mereka amat berharga. Apapun, kita perlu bersedia untuk meninggalkan apa-apa yang menganggu kebahagiaan diri," tambahnya.
Komposer dan produser lagu ‘RUN’ iatu Mingaling bukanlah satu nama asing dalam dunia pembikinan lagu. Mingaling juga merupakan salah seorang daripada anggota kumpulan Mass Music. Begitu juga dengan penulis liriknya, penyanyi Amir Hasan yang pernah tampil dalam pertandingan Big Stage 2020 sebelum ini.
‘RUN’ boleh dinikmati menerusi semua platform penstriman muzik terpilih antaranya Apple Music, Deezer, JOOX, KKBox, Spotify, Youtube & Youtube Music.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar