Laman Utama
Pernah Positif Covid-19, Tiz Zaqyah Paranoid
Pernah positif Covid-19, pelakon Tiz Zaqyah mengakui paranoid untuk kembali bekerja dan memasuki set penggambaran.
Menurut Tiz, dia dijangkiti virus tersebut pada Mei tahun lalu dan ketika itu sedang dalam fasa membaca skrip untuk drama bersiri Villa Kristal.
“Masa script reading, saya dijangkiti Covid-19 dan berhenti rehat kerana menjalani kuarantin dan selepas itu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pula diumumkan.
“Jadi saya berehat lama sebelum masuk ke set penggambaran. Saya mengaku ada perasaan paranoid apabila tengok orang ramai.
“Sampai saya terfikir ‘selamatkah kita ni kalau pakai mask on and off macam ni’…Masa berlakon buka mask tapi selepas itu pakai balik.
“Tapi Alhamdulillah, produksi sangat menjaga kebajikan dan keselamatan kami. Kami semua wajib patuh pada SOP (Prosedur Operasi Standard) yang telah ditetapkan dan tiga hari sekali kena buat swab test.
“Orang luar pun tak boleh sesuka hati masuk ke kawasan penggambaran, kami macam berada dalam ‘bubble’ kami sendiri,” katanya.
Bagaimanapun kata Tiz, dalam pada berjaga-jaga dia tetap diarahkan untuk menjalankan kuarantin di rumah selepas menjadi kontak rapat kepada seorang teman.
“Half way shooting, saya tiba-tiba jadi close contact kepada seorang kawan dan kena berhenti shooting selama 10 hari lagi.
“Saya rasa ini antara cabaran yang saya lalui sepanjang penggambaran Villa Kristal ini,” katanya berkongsi pengalaman.
Ditanya mengenai cabaran bekerja dalam norma baharu, Tiz berkata, setiap orang perlu sentiasa mematuhi SOP dan menjaga kesihatan diri.
“Sebenarnya tak susah pun nak berlakon dalam keadaan sekarang kalau kita ikut garis panduan ditetapkan. Jaga SOP semua.
“Covid-19 memang ada dalam kalangan kita dan saya rasa apa yang boleh kita buat ialah ‘move-on’ kerana kita semua tetap kena bekerja dan teruskan kehidupan.
“Tidak dinafikan saya juga risau tentang kesihatan dan keselamatan diri, tambah-tambah lagi sekarang ini semua orang pun boleh dijangkiti. Sama ada sudah dijangkiti atau belum sahaja,” katanya.
Tiz ditemui ketika majlis pelancaran dan pra-tayangan Villa Kristal di OpenHouse KLCC, Kuala Lumpur pada petang Selasa.
Selain Tiz Zaqyah, Villa Kristal yang bakal ditayangkan di platform digital WeTV turut menampilkan Mimi Lana, Jasmine Suraya, Mawar Rashid, Tony Eusof, Nazrief Nazri, Alvin Wong dan Aisar Khaled.
Villa Kristal mengisahkan mengenai sekumpulan wanita elit yang memiliki rahsia masing-masing dan menjalani kehidupan penuh misteri serta skandal.
Drama Villa Kristal diarahkan dua pengarah iaitu Kabir Bhatia dan Jason Chon