Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Berita

“Perpaduan Dan Keharmonian Rakyat Adalah Merupakan Tiang Seri Kekuatan Negara” - Yang di-Pertuan Agong

Badrul Hashim 30/07/2019 | 06:04 MYT

Berikut adalah teks penuh Titah Diraja Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sempena Istiadat Pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong pada 30 Julai 2019, Selasa bersamaan 27 Zulkaedah 1440 Hijrah bertempat di Balairung Seri, Istana Negara Kuala Lumpur.

بسم الله الر حمن الر حیم السلام علیكم ورحمة الله وبركاتھ

الحمدالله رب العالمین والصلاة والسلام

على اشرف الانبیاء والمرسلین وعلى الھ وصحبھ اجمعین رب اشرح لي صدرى ویسرلي امري والحلل عقدة من لساني یفقھوا قولي

Segala puji ke hadrat Allah Subhanahu Wataala yang maha berkuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dia-lah Allah yang berkuasa memuliakan sesiapa yang dia kehendaki; dan juga menghina sesiapa yang dikehendaki.

Selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wassalam; ahli keluarga serta para sahabat.

Alhamdulillah. Beta memanjatkan setinggi-tinggi kesyukuran kehadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan kekuasaan-nya jua; telah mengizinkan berlangsungnya istiadat pertabalan Beta pada hari yang penuh bersejarah ini.

Sebagai pembuka titah; Beta dan Raja Permaisuri Agong ingin menzahirkan junjungan kasih kepada Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu; di atas kesudian mengampuni perkenan pemilihan Beta sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-16 di dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Kali Ke-251 pada 24 Januari 2019 yang lalu.

Beta insaf dengan amanah berat yang digalas melalui penghormatan tinggi dari Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu sekalian.

Beta berikrar akan menjunjung penghormatan ini dengan segala kemulian-nya; sepertimana yang diperintah oleh Allah Subhanahu Wataala dalam surah An-Nisa; ayat ke-86; yang bermaksud:

“Apabila kamu diberi penghormatan dengan sesuatu penghormatan; maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripada-nya; atau balaslah penghormatan itu dengan yang serupa. Sesungguhnya Allah selalu membuat perhitungan atas tiap-tiap sesuatu.”

Yang Maha Mulia Raja-Raja; hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Pada tanggal 10 Julai 1980; Al-Marhum Paduka Ayahanda Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah Ibni Almarhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Muadzam Shah; telah ditabalkan sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7.

Ditakdirkan Allah yang maha berkuasa; pada hari ini Beta ditabalkan pula sebagai Yang Di-Pertuan Agong Ke-16 di atas singgahsana dan mahkota yang sama digunakan oleh Almarhum Paduka Ayahanda 39 tahun yang lalu.

Semasa pemerintahan Al-Marhum Paduka Ayahanda; Baginda tegas namun terbuka dalam melontar mutiara pandangan. Hubungan Baginda dengan rakyat adalah begitu akrab yang jelas melambangkan jiwa Baginda yang sentiasa memberi keutamaan kepada rakyat.

Marilah sama-sama kita memohon ke hadrat Allah Subhanahu Wataala semoga roh Baginda ditempatkan bersama para solihin dan mu’ttaqin.

Sesungguhnya institusi Yang Di-Pertuan Agong; adalah amat penting dalam sistem kenegaraan Malaysia. Demokrasi berparlimen memberi peluang kepada rakyat untuk berperanan secara langsung dalam membentuk kerajaan.

Manakala; Raja berperlembagaan memberi legitimasi kepada pembentukan kerajaan. Raja juga akan kekal memerintah di atas asas landasan Perlembagaan Persekutuan.

Justeru; institusi Yang Di-Pertuan Agong bukanlah sekadar simbol mahupun lambang. Ianya adalah merupakan asas perpaduan; penyatuan bangsa dan pencetus semangat patriotisme kebangsaan.

Ianya adalah merupakan satu roh yang jika diwarisi dan dihayati oleh setiap anak watan; boleh menerbitkan rasa cinta dan kesetiaan kepada negara.

Menyedari hakikat ini; beta akan berusaha dengan sedaya mungkin untuk mewujudkan perpaduan dan sikap tolerasi di antara semua kaum; bangsa dan agama.

Beta akan mengutamakan rakyat; menghormati yang tua dan memuliakan yang muda. Semua ini akan beta zahirkan dengan penuh rasa tawaduk.

Sesungguhnya; “ular yang menyusur akar; tidak sekali-kali akan hilang bisa-nya.”

Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu; hadirin dan hadirat sekalian.

Kejayaan yang kita kecapi pada hari ini adalah hasil perancangan kerajaan semenjak kita mula mencapai kemerdekaan.

Beta mengalu-alukan usaha yang telah dilaksanakan oleh kerajaan Beta dalam menyusun semula rancangan pembangunan dan mengukuh fiskal negara.

Beta juga turut menyokong usaha-usaha untuk meningkatkan tadbir urus integriti; memerangi rasuah dan mempertahankan keluhuran undang-undang.

Beta ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Beta yang berpandangan jauh dalam merencana gagasan ekonomi baru yang dinamakan “Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.”

Beta berharap; usaha-usaha untuk membasmi kemiskinan turut diberikan keutamaan. Kitaran warisan kemiskinan wajar ditangani segera; kerana ianya bakal menjejas agenda pembentukan negara maju.

Perjalanan untuk mencapai kemakmuran bersama bukanlah mudah. Setiap lapisan rakyat berperanan untuk menyumbang dalam menjadikan malaysia sebagai sebuah negara maju yang dipandang tinggi oleh dunia.

Beta juga menyambut baik usaha-usaha kerajaan Beta untuk mengukuhkan perpaduan di kalangan rakyat melalui penubuhan badan bebas “Majlis Perundingan Keharmonian Rakyat.”

Perpaduan dan keharmonian rakyat adalah merupakan tiang seri kekuatan negara. Nasihat Beta; jangan sekali-kali kita mencetuskan api perselisihan dengan membangkitkan perkara yang boleh menggugat dan meruntuh keharmonian negara.

Bermain dengan api bukan hanya membakar diri sendiri; malahan turut membakar seluruh kampung halaman.

Marilah kita sama-sama mengambil pengajaran daripada titah Al-Marhum Paduka Ayahanda Beta yang telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 25 April 1984. Baginda bertitah:

“Mencetuskan sesuatu krisis adalah senang dalam sekelip mata sahaja. Tetapi mencari jalan penyelesaian adalah sangat susah. Kena-lah kita berfikir panjang sebelum mengambil sesuatu sikap yang boleh memberi kesan buruk kepada rakyat. Ini lah negara kita; tempat untuk mencari nafkah hidup bukan sebaliknya.”

Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu; hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian.

Beta menyambut baik dan mengucapkan terima kasih kepada memanda Perdana Menteri yang telah menyampaikan ikrar taat setia bagi pihak kerajaan; anggota pentadbiran; penjawat awam; pasukan keselamatan dan seluruh rakyat jelata sekalian.

Beta amat berkeyakinan kerajaan Beta yang dikemudi oleh memanda Perdana Menteri yang luas pengalaman lagi bistari; akan dapat mengharungi apa juga rintangan mendatang dan seterusnya membawa negara ke mercu kejayaan.

Seperti bagai berjanji; pemerintahan Beta kali ini adalah ketika kerajaan yang diketuai oleh memanda Perdana Menteri yang ke-7; Yang Amat Berhormat Tun Doktor Mahathir Bin Mohamad.

Hampir empat dekad yang lalu semasa Al-Marhum Paduka Ayahanda Beta memerintah sebagai Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong Ke-7; Memanda Perdana Menteri adalah juga merupakan Perdana Menteri Yang Ke-4.

Maka benarlah bagai dikata; “negarawan ulung tidak lapuk di telan zaman; dan tidak usang di mamah usia.”

Beta berharap kerjasama erat dan persefahaman yang pernah terjalin di antara Al-Marhum Paduka Ayahanda Beta dengan memanda Perdana Menteri; dapat pula diteruskan semasa pemerintahan Beta demi kesejahteraan negara dan rakyat tercinta.

Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu; hadirin dan hadirat yang Beta kasihi sekalian.

Izinkan Beta untuk bertitah kepada tetamu-tetamu negara dan hadirin yang hadir dari segenap pelusuk dunia ke istiadat yang penuh kemuliaan ini.

Beta ingin menzahirkan ucapan menjunjung kasih di atas keberangkatan Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien; Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam; dan Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha Binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam.

Keberangkatan Seri Paduka kekanda berdua adalah merupakan manifestasi keakraban ikatan persaudaraan di antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

I am extremely honoured by the presence of His Highness Sheikh Mohammed Bin Zayed Al-Nahyan. Sheikh Mohammed and i have come a long way since our military training in Sandhurst and later on in Oxford. We have shared fondness memories together as friends and brothers.

I also would like to take this opportunity to extend my greatest heartfelt thank you and appreciation to all my guests who have flown from all over the world to be here in this auspicious occasion. Your presence has undoubtedly made this ceremony even more special.

Mengakhiri titah, marilah kita berdoa semoga negara yang kita cintai ini akan terus kekal aman sentosa dan makmur serta sentiasa dalam perlindungan Allah Subhanahu Wata’ala.

Sekian.

Kredit Gambar: Instagram @images.bernama

#Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong #Titah Diraja
;