Hiburan
“Perpisahan Ini Tiada Kena Mengena Dengan Video Lip Sync Bollywood” - Kak Girl Sah Bercerai
Personaliti media sosial Nur Amira Maslan atau lebih dikenali sebagai Kak Girl telah mengesahkan dia sudah berpisah dengan suaminya pada Ahad lalu di Mahkamah Rendah Syariah Johor.
Menerusi laman sosial Instagram, Kak Girl, 32, memuat naik sekeping foto hitam putih bersama bekas suami, Mohd Hafizi Marzuki sambil mengumumkan berita itu untuk tatapan umum.
“Betul, saya dah suami sudah berpisah. Cukuplah sekadar saya berkongsi yang kami dah tak bersama dan sebab-sebabnya biarlah saya dan bekas suami simpan.
“Apa yang berlaku sudah tertulis. Saya reda,” tulisnya sebagai kapsyen.
Memetik laporan Mstar Online, rumah tangga mereka sudah lama bermasalah berikutan bekas suaminya yang bekerja di Singapura dan Kak Girl di Johor Bahru.
Menerusi perkongsian itu juga, Kak Girl menepis andaian perpisahannya dengan bekas suami berpunca daripada dirinya yang kian popular.
Malah, dia turut meminta orang ramai untuk tidak membuat sebarang fitnah tentang dirinya yang gemar membuat video lip sync sebagai punca perpisahan.
“Saya dan bekas suami Insya-Allah tiada masalah membenci antara satu sama lain. Saya juga berpisah cara baik atas persetujuan dua belah pihak,” ulas Kak Girl lagi.
Kak Girl turut mengambil kesempatan itu untuk mendoakan yang terbaik untuk bekas suaminya.
Kak Girl dan bekas suami berkahwin pada 20 Februari 2015 di Johor Bahru dan masih belum dikurniakan cahaya mata.
Terdahulu, nama Kak Girl mencuri perhatian netizen apabila sering memuat naik video parodi lip sync sambil memandu.
Malah, aktor Bollywood popular Shah Rukh Khan turut pernah memberikan respon positif pada salah satu video lip sync Kak Girl bersama bekas suaminya di dalam kereta.