Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

Persoal Tindakan Pejuang Hamas, Azhar Sulaiman Akhirnya Mohon Maaf - “Saya Tiada Niat Menentang”

Firdaus 21/05/2024 | 00:16 MYT

Dikritik sebelum ini kerana seolah-olah menyalahkan pejuang Hamas dalam pembedilan Israel terhadap Palestin, pelakon Azhar Sulaiman akhirnya membuka mulut menerangkan tentang pendapatnya berkaitan isu tersebut.

"Saya tak ada niat pun menentang, saya adalah untuk Palestin...

Dalam hantaran terbaharu Azhar di akaun Instagramnya, pelakon berusia 53 tahun itu membuat permohonan maaf dan mengakui mempunyai pendirian tetap tentang sokongannya ke atas Palestin.

“Assalamualaikum semua, saya tahu saya kena serang dari kiri, kanan, tengah, pasal isu Palestin ni. Bagaimanapun, saya di sini sebagai seorang gentleman nak menjawab dan memohon maaflah kepada orang ramai ke atas posting saya itu kalau telah mengguris hati.
“Saya tak ada niat pun menentang, saya adalah untuk Palestin dan saya sentiasa sokong gerakan perpaduan untuk negara itu dan ia adalah fakta. Daripada dulu pun saya memang sokong,” katanya.

Persoalan Tentang Kepimpinan

Bagaimanapun, Azhar dalam pada itu berkongsi persoalannya berkaitan dua pandangan politik di Palestin, iaitu Fatah dan Hamas di mana aktor tersebut meluahkan tanda tanya tentang kepimpinan ketua dalam kedua-dua parti itu dalam menyelesaikan konflik yang sedang berlaku.

“Fatah ada cara dia untuk selesaikan konflik, dan Hamas ada cara dia untuk selesaikan konflik. Kedua-dua untuk menyelesaikan konflik mestilah kira ataupun membuat pertimbangan tentang kematian atau impak terhadap apa yang mereka hendak lakukan.
“Jadi ketua datang dan pergi, ada yang baik ada yang tak, ada yang bijak dan ada juga yang tidak. Jadi dalam kes di Palestin ni, umur ketua tak panjang sebab Israel selalu pantau mereka.
“Yang menjadi persoalan saya selama ni, setiap tahun akan ada peperangan kecil mahupun besar antara mereka (Israel dan Palestin), dan akhirnya yang ini antara perang yang paling besar, berani kacau Israel dengan lancarkan 5,000 roket.
“Jadi bila saya ikuti peperangan tu, terlintas di hati saya, mereka dah serang dan mereka dah buat mereka marah, apa seterusnya? Mereka tahu apa yang Israel akan buat terhadap mereka, jadi disebabkan ini Israel dah isytiharkan perang ke atas Palestin,” soalnya.

Hamas Beri Lesen Israel Serang?

Selain itu, Azhar juga berpendapat tindakan yang dibuat Hamas itu umpama memberi lesen untuk Israel mengisytiharkan perang terhadap Palestin.

“Bila mereka (Israel) dah isytiharkan perang maksudnya mereka boleh gunakan apa cara sekalipun demi mencapai objektif mereka. Iaitu menghancurkan Gaza buat selama-lamanya.
“Dah jadi macam Hamas bagi lesen pula untuk Israel buat macam ni. Israel selama ni mereka macam takut-takut sebab komuniti antarabangsa sedang mengawasi mereka, tetapi sekarang macam bagi izin pula untuk menyerang Palestin.
“Jadi saya mempersoalkan kepimpinan, sama ada betulkah strategi yang digunakan? Sebab Hamas dah tahu akibatnya. Misal kata, Hamas berjaya menempatkan semula rakyat Palestin tu menyorok dalam terowong dulu ke dan lepas tu biar Israel serang. Jadi tiada jumlah korban,” kongsinya.

BERITA TRENDING: Beri Komen Berbaur Sensitif Tentang Palestin, Netizen Bandingkan Sikap Azhar Sulaiman Dengan Leona

Sementara itu, Azhar pada penghujung luahannya menegaskan bahawa dirinya tidak mahu memanjangkan isu dan memohon maaf sekiranya masih ada yang tersinggung berkaitan entri yang dibuat.

“Lagi sekali, saya tak nak panjang-panjangkan cerita ni, saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia yang tersinggung dengan posting saya ni.
“Saya dah terangkan kenapa saya persoalkan kepimpinan tu, jaga diri semua dan harap cerita ini habis tutup dekat sini,” jelasnya.

A post shared by Azhar Sulaiman (@azharbsulaiman)

Sekadar info, Azhar sebelum ini dikritik oleh ramai pihak apabila dirinya menyuruh beberapa individu untuk berhenti mewajarkan tindakan Hamas dalam konflik yang berlaku.

BERITA TRENDING: “Sedang Saya Berjalan Menuju Masjid Al-Aqsa, Seorang Wanita Palestin Berpesan…” - Leona

Susulan itu, sikap pelakon tersebut dibandingkan dengan anak perempuannya, Kasih Iris Leona yang lantang menyuarakan sokongan terhadap Palestin.

Sumber: Instagram

#Viral #Netizen #perang #Israel #Palestin #Azhar Sulaiman #Leona #Hamas
;