Hiburan
Pertama Kali Berlakon Di Indonesia, Mira Filzah Kongsi Pengalaman Bekerjasama Dengan Refal Hady - “Dia Seorang Yang Sangat…”
Pelakon Mira Filzah meluahkan rasa syukur dan teruja apabila diberi peluang untuk berkarya di luar negara, khususnya di Indonesia.
Menurut Mira, atau nama sebenarnya Nur Amirah Filzah Badioezaman, dia gembira dapat menerokai pengalaman baharu serta membina nama dalam industri lakonan di Indonesia.
“Sudah semestinya saya berasa sangat gembira dan sedikit gementar kerana diberikan peluang untuk berkarya di sana.
“Saya mengambil peluang ini sebagai pengalaman untuk mempelajari budaya mereka dan cara kerja di sana. Selain itu, ia juga untuk membina profil saya sendiri dalam industri hiburan Indonesia.
“Secara keseluruhan, ia adalah satu pengalaman yang sangat menyeronokkan dan membuka mata. Banyak juga yang saya pelajari sepanjang berada di sana,” katanya kepada Gempak.
Pengalaman pertama ceburi dunia lakonan di Indonesia, Mira memberitahu biarpun watak yang dibawa tidak besar namun ia memberi impak penting kepada teraju utama filem Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.
“Ini adalah pengalaman pertama saya berlakon dalam industri lakonan Indonesia. Watak saya dalam filem tersebut tidaklah terlalu besar, tetapi ia memberi impak penting kepada watak utama,” kongsinya.
Pada masa yang sama, aktres berusia 31 tahun ini turut berkongsi pengalamannya bekerja bersama pelakon Indonesia iaitu Refal Hady, selain memuji sikap dan keperibadian aktor tersebut.
“Pengalaman berlakon bersama Refal Hady sangat menyenangkan. Dia seorang yang sangat santai, beradab, dan peramah.
“Orang Indonesia secara umumnya sangat peramah. Cara percakapan mereka pula begitu puitis dan sedap didengari,” jelasnya.
Terdahulu, Mira Filzah diumumkan sebagai salah seorang pelakon dalam filem terbaharu arahan Hanung Bramantyo berjudul Cinta Tak Pernah Tepat Waktu.