Hiburan

Pertama Kali Jejakkan Kaki Ke AJL34, Kugiran Masdo Lali Kutukan, Mahu Mantapkan Vokal

Azwa Rahman
26/12/2019
09:25 MYT
Sponsor Banner
Pertama Kali Jejakkan Kaki Ke AJL34, Kugiran Masdo Lali Kutukan, Mahu Mantapkan Vokal
Kugiran Masdo melahirkan rasa bersyukur apabila lagu Dinda berjaya melayakkan diri ke Anugerah Juara Lagu 34 (AJL34) yang akan diadakan Februari kelak.
Menurut vokalis Kugiran Masdo, Ali Sariah, mereka menghargai penilaian para juri dan peminat yang telah memilih lagu Dinda menjadi di antara 12 lagu terbaik.
“Sejujurnya semasa sesi separuh akhir, saya mengalami masalah sakit tekak. Saya menyanyi pun biasa sahaja tapi alhamdulillah lagu Dinda terpilih mungkin kerana melodi dan liriknya yang unik.
“Sebagai persediaan menjelang AJL34, saya mengambil kelas vokal bersama penyanyi Amir Jahari untuk lebih mahir dengan teknik-teknik menyanyi serta memperbaiki vokal saya,” jelas Ali kepada Gempak.
Ali ditemui ketika majlis sidang media Festival Rockaway 2020 yang diadakan di The Bee, Publika pada Khamis.
Tambah Ali, berjaya menempah tiket ke AJL34 bersama dengan 11 lagu hebat yang lain sudah cukup membuatkan mereka merendah diri.
“Kalau tahun lepas kami hanya berjaya ke separuh akhir sahaja. Niat kami dapat ke final tahun ini, kami mahu berikan persembahan yang sehabis baik.
“Kami juga berharap dapat memberikan kelainan dan warna pada pertandingan tersebut agar semua terhibur,” ujarnya lagi.
Di samping AJL34, Kugiran Masdo bakal membuat kemunculan pada festival rock legenda, Rockaway 2020 yang akan diadakan pada pada 14 hingga 15 Mac 2020 di kawasan letak kereta B, Stadium Nasional Bukit Jalil.
Selain Kugiran Masdo, antara artis solo dan kumpulan yang akan membuat persembahan pada Rockaway 2020 adalah Datuk M Nasir, Hujan, XPDC, Project E.A.R dan Toko Kilat.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar