Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Pertama Kali Mendakap Bayi Lelaki Subhanallah…”- Yatt Hamzah Berkongsi Pengalaman Melahirkan Anak Ke-5

Syafiqah Jalal 06/07/2021 | 06:41 MYT
Pelakon Yatt Hamzah tidak dapat menggambarkan perasannya apabila pertama kali menimang cahaya mata lelaki pada 3 Julai lalu.
Berkongsi pengalamannya melahirkan anak yang kelima itu, Yatt berkata dia hampir dibedah kerana menahan kesakitan kontraksi lebih 8 jam.
“Pertama kali mendakap bayi lelaki zuriat sendiri. Perasaannya, Subhanallah luar biasa indah. Menitis air mata dan lidah tak henti-henti mengucapkan syukur.
“Inilah anak bertuah yang hampir-hampir keluar ikut tingkap (pembedahan).
“Di saat-saat akhir dapat juga melahirkannya secara normal walaupun terpaksa menahan sakit lebih 8 jam dan meneran kuat hingga pembuluh darah pecah di bawah kulit muka, mata dan seluruh badan.
“Boleh nampak jelas kulit muka Bonda (Yatt) tu penuh bitnik-bintik merah seperti freckles. Pengorbanan ibu, asalkan anak yang dilahirkan selamat dan sihat,” ceritanya.
Yatt berkongsi pengalaman tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut dia memuat naik fotonya bersama bayi yang baru dilahirkan itu.
Kata Yatt lagi bayinya itu bakal menjadi putera bongsunya dan bersyukur doanya yang menginginkan zuriat lelaki.
“Alhamdulillah, inilah si bongsu anakanda putera yang ditunggu-tunggu sekian lama.. Satu-satunya Putera Bonda selepas kakak-kakanyanya 4 Puteri, barulah dia muncul. Kelahiran yg dinanti-nantikan bukan sahaja kami keluarganya tapi sahabat-sahabat,” katanya.
Dalam pada itu, Yatt memberitahu dia tidak mempunyai apa-apa tips untuk mendapatkan cahaya mata lelaki namun hanya berdoa dan berserah kepada Allah.
“Sungguh tak sangka zuriat penutup ini (insya-Allah), kami dapat seorang Putera. Sampai ramai sangat yang WhatsApp dan DM (mesej peribadi) bertanya, apa tips nak dapat anak lelaki!?
“Di sini Bonda jawab pertanyaan semua. Wallahi Bonda tiada apa-apa tips dan tidak mengamalkan apa-apa melainkan menyerahkan segala pergantungan hanya pada Allah.
“Memanglah teringin anak lelaki tapi tak mengharapkan. Kalau dapat syukur..tak dapat pun syukur.. Tak mengharap, hanya berdoa. Jika ada rezeki kami, kami redha apa sahaja yang dikurniakan asalkan anak selamat dan sihat,” beritahunya.
Terdahulu, pada pagi Jumaat lalu, Yatt berdepan detik cemas dan terpaksa dikejarkan ke hospital kerana mengalami kekurangan air ketuban pada rahimnya.
Untuk rekod, Yatt pernah mengalami keguguran pada September tahun lalu akibat keracunan makanan.
Yatt yang mendirikan rumah tangga dengan Zulfahdli pada Februari 2016 dikurniakan tiga cahaya mata perempuan iaitu Suci Humaira Iqima, 5, Suci Hayfa Medina, 3, dan Suci Hawa Zulaikha yang kini berusia setahun.
Sebelum itu, Yatt turut mempunyai seorang anak, Suci Hanania Malika, 9, hasil perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor.

A post shared by BONDA of 6, 5 here 1 in HEAVEN (@yatthamzah_suci)

#Anak #Bersalin #Hamil #Bayi #Hamzah #Lahir #'Yatt
;