Laman Utama
Pertama Kali Tunai Umrah Berlima Lepas Konsert Naga Kramat, Wings Mahu 'Berehat'?
Vokalis Wings, Datuk Awie mendedahkan buat pertama kali dia dan ahli kumpulannya itu bakal mengerjakan ibadah umrah bersama-sama pada November depan usai melangsungkan konsert Naga Kramat.
Jelas Awie, 53, keputusan mereka untuk ke tanah suci Mekah itu sudah lama dirancangkan.
“Insyallah habis sahaja konsert pada bulan Oktober ini iaitu Naga Kramat, kami akan mengerjakan umrah berlima pada bulan November nanti.
“Lama sangat dah kami rancang untuk buat ibadah ini bersama. Ini merupakan pertama kali kami pergi berlima, kalau sebelum ini mungkin ada yang dah pergi tetapi secara sendiri dan keluarga masing-masing,” katanya kepada Gempak.
Awie ditemui ketika sesi sidang media pengumuman Konsert Naga Kramat yang berlangsung di ibu kota baru-baru ini.
Dalam pada itu, Awie turut menjelaskan bahawa mereka akan ‘berhenti’ seketika daripada mengambil sebarang persembahan dan tawaran konsert bagi memberi laluan kepada penyanyi-penyanyi lain untuk menganjurkan konsert mereka.
“Untuk persembahan pula, kami akan hadkan dan hanya sampai bulan Disember sahaja, kemudian kami akan berhenti seketika untuk berehat.
“Dalam pada itu kami akan beri laluan juga kepada artis-artis lain untuk penjualan tiket konsert mereka pula, Wings tak mahu ganggu.
“Kami akan berehat sehingga raya tahun depan, kemudian akan aktif semula, tapi kalau ada persembahan satu atau dua kami ambil juga lah,” tambahnya.
Konsert Naga Kramat bakal berlangsung pada 22 Oktober ini di Zepp Kuala Lumpur. Tiket konsert sudah mula dijual secara atas talian melalui www.ticket2u.com.my/nagakramat .