Laman Utama

Pertarungan Bermula! Projek: Anchor SPM Bakal Beraksi 15 Mac Ini!

Hanafis Haris
02/03/2021
09:28 MYT
Sponsor Banner
Pertarungan Bermula! Projek: Anchor SPM Bakal Beraksi 15 Mac Ini!

Mengangkat kisah pelajar yang ‘bertarung’ dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Astro bakal menampilkan sebuah lagi drama bersiri premium terbaru menerusi jenama Astro Originals, bertajuk Projek: Anchor SPM.

Drama hebat ini bakal menggantikan Kampong Pisang Bersiri-Siri yang sebelum ini turut hangat diperkatakan penonton.

Difahamkan, Projek: Anchor SPM memaparkan kisah fiksyen diinspirasikan daripada pengalaman dan gelagat pelajar dalam menghadapi SPM sebelum ini.

Menariknya, ia telah mendapat sentuhan kreatif daripada dua pengarah berbakat besar tanah air iaitu pengarah filem PUSAKA, Razaisyam Rashid dan Anwari Ashraf.

Bagi yang tidak tahu, Anwari sebelum ini merupakan penulis skrip untuk filem pecah panggung seperti Polis Evo 1 (RM18 juta), Polis Evo 2 (RM 23 juta), PUSAKA (RM13 juta), PASKAL: The Movie (RM30 juta) dan Wira (RM11 juta).

Tambah menarik, drama siri premium ini memaparkan latar belakang tahun 2003, sekali gus membawa penonton mengimbau kembali kenangan zaman persekolahan menerusi barang-barang nostalgia.

Menurut pengarahnya Razaisyam Rashid, dia berbangga dan bersyukur kerana dapat bekerjasama sekali lagi dengan Astro dalam menghasilkan sebuah drama siri premium.

“Di atas kepercayaan diberikan ini, saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza daripada aspek teknikal dan gaya seni untuk mencapai tahap kualiti yang tinggi.

Sementara itu, Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, menerusi slot Astro Originals, drama premium yang ditampilkan sangat berkualiti dan setaraf filem, malah ia boleh ditonton secara bersiri setiap minggu.

“Kali ini, Projek: Anchor SPM bakal menghiasi slot Astro Originals dan ia mengetengahkan subjek yang dekat dengan penonton Malaysia iaitu pengalaman dan isu di sekolah yang mungkin tidak dibincangkan selama ini.

“Antaranya isu psikologi, tekanan daripada keluarga dan pengaruh rakan sebaya, lebih-lebih lagi di kalangan anak muda.

“Kami menyedari banyak isu sosial dan stigma yang jarang disentuh dan ia adalah subjek sangat menarik untuk kita kupas disamping membawa penonton untuk mengimbas kembali memori di sekolah,” katanya.

Raja Jastina berkata demikian pada majlis sidang media Projek: Anchor SPM yang berlangsung sebentar tadi.

Untuk rekod, Projek: Anchor SPM mengisahkan tentang sekumpulan pelajar tingkatan lima di Sekolah Tengku Isa Anuar (STIA) di Cameron Highlands, yang merupakan sebuah sekolah berasrama penuh berprestij.

Isu mula tercetus apabila Aizat lakonan Aedy Ashraf terdesak cuba mencari jalan mendapatkan keputusan 8A dalam peperiksaan percubaan SPPM.

Aizat akhirnya berjaya bersekongkol dengan Aaidaa (Daiyan Trisha), dan menghasilkan sebuah pelan untuk membantu rakan- rakan seluruh tingkatan mereka cemerlang SPM melalui strategi meniru besar-besaran.

Drama ini turut dilakonkan oleh Nadhir Nasar (Hilmi), Chubb-E (Botol), Shasha Abedul (Jaja) serta nama-nama besar dalam industri seni tempatan seperti Adlin Aman Ramlie, Hasnul Rahmat Tony Eusoff dan Susan Lankester.

Apapun, saksikan ‘Projek: Anchor SPM akan ditayangkan di saluran Astro Citra pada jam 9.00 malam, bermula 15 Mac ini.

Untuk pilihan alternatif, anda juga boleh strim di platform Astro GO atau On Demand. Ikuti info dan klip-klip menarik menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Gempak dan Astro Shaw.

Related Topics
Must-Watch Video
Unitar