Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Sukan

"Peserta Astro Kem Badminton Ada Semangat Tinggi, Cuma..." - Jurulatih Jepun

Kamaruddin Razal 27/12/2019 | 14:28 MYT
Jurulatih Remaja Nippon Badminton Association (NBA), Hiroyuki Hasegawa menyifatkan 30 peserta cilik Astro Kem Badminton (AKB) yang baru sahaja selesai mengadakan Program Latihan Intensif Luar Negara di Tokyo, Jepun baru-baru ini mempunyai semangat yang tinggi.
Menurut Hiroyuki, peserta cilik ini mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri untuk terus dilatih agar menjadi bintang bersinar dalam dunia badminton satu hari nanti.
"Peserta-peserta AKB mempunyai semangat yang tinggi, cuma mereka perlu meningkatkan tahap stamina agar lebih berdaya saing untuk menempatkan diri di peringkat yang lebih tinggi.
"Pada awalnya, boleh dilihat mereka kurang bertenaga tetapi selepas melihat corak latihan pasukan junior Jepun, mereka mula terinspirasi dan menyesuaikan diri," katanya.
Dalam pada itu, Hiroyuki memuji teknik dalam permainan yang dipamerkan oleh peserta AKB.
"Pasukan junior Jepun mungkin ada kelebihan dari segi stamina, tetapi AKB ada kelebihan dari segi teknik.
"Saya juga berharap pasukan junior Jepun dapat melihat dan mengambil inspirasi daripada teknik yang ditunjukkan oleh peserta AKB.
"Apa yang mereka kecapi sepanjang latihan haruslah digunakan dengan baik kerana semuanya sangat berharga. Bukan mudah untuk mendapat pengalaman sebegini dan semoga harapan mereka untuk menjadi pemain terbaik di peringkat antarabangsa satu hari nanti akan tercapai," katanya lagi.
AKB merupakan jalinan kolaborasi antara Astro Kasih bersama Nippon Badminton Association (NBA) di Jepun serta disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan sudah dimulakan semenjak tahun 2003.
Dengan kewujudkan AKB, bakat-bakat cilik serata Malaysia yang mempunyai potensi dalam sukan badminton dikumpulkan dan menjalani latihan intensif di dalam dan luar negara.
Untuk edisi 2019, AKB menerima lebih 3,000 penyertaan di serata Malaysia menerusi pemilihan yang diadakan di Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang, Kelantan, Sabah serta Sarawak pada Mac dan April lalu.
Seramai 64 peserta cilik dipilih untuk menyertai program latihan intensif selama seminggu anjuran AKB pada penghujung Ogos sehingga September lalu.
Kemuncaknya, 30 orang peserta cilik berusia bawah 12 tahun bersama dua mentor diterbangkan khas ke Tokyo bagi menghadiri sesi latihan bersama Japan National Junior Team baru-baru ini.
BACA: "Peserta Terpilih Ada Potensi Harumkan Nama Malaysia" - Jurulatih Astro Kem Badminton
BACA: Latihan Intensif Astro Kem Badminton Di Tokyo Pupuk Disiplin, Bakal Lahirkan Juara
BACA: Latihan Intensif Luar Negara Astro Kem Badminton Tingkat Motivasi Pemain Cilik
Berpeluang untuk merasai sendiri pengalaman berlatih secara intensif di luar negara pada 8 sehingga 17 Disember yang lalu, semua peserta cilik ini berkampung di Ajinomoto National Training Center, Tokyo dan mereka turut ditempatkan di Athlete Village.
Athlete Village merupakan sebuah perkampungan atlet berprestij dan merupakan pusat penginapan rasmi atlet di Jepun untuk Sukan Olimpik yang bakal berlangsung tahun hadapan.
#Astro Kem Badminton #AKB
;