Laman Utama
Pesta’ Sambut Pasukan Argentina Jadi Tragedi; Tim Bola Naik Helikopter & Peminat Maut
Sudah seperti menjadi satu budaya apabila pasukan bola sepak menang, rakyat dari seluruh pelusuk akan keluar ‘berpesta’ dan ikut meraikan.
Apa lagi jika kemenangan tersebut bertaraf dunia seperti pasukan Argentina yang membawa pulang piala dan status Juara Piala Dunia 2022 ke kampung halaman mereka selepas kali terakhir memegang gelaran itu pada tahun 1986.
Pada saat tiada ruang di jalanan terutama di Buenos Aires kerana dilimpahi peminat yang teruja menyambut dan ikut meraikan pasukan kebanggaan pulang, ada tragedi duka yang terjadi.
Media tempatan, La Nacíon melaporkan ‘pesta’ tersebut bertukar tragedi dengan sekurangnya dua orang disahkan meninggal dunia saat ikut meraikan kemenangan Argentina.
Seorang lelaki berusia 24 tahun dilaporkan maut setelah jatuh dari bumbung yang pecah sewaktu dia kegirangan meraikan kemenangan dan seorang lagi peminat dipercayai mati selepas ikut melompat bersama kerumunan peminat ke atas bas yang dinaiki para pemain Argentina.
Lelaki tersebut dikatakan mengalami kecederaan pada bahagian kepala dan meninggal dunia di hospital.
Selain itu, media sama juga melaporkan terdapat seorang kanak kanak lelaki berusia lima tahun sedang bertarung nyawa dan koma di hospital selepas sekeping marmar jatuh ke atas kepalanya sewaktu sedang meraikan kemenangan Argentina menewaskan Perancis.
Malah oleh kerana keselamatan terhadap rombongan pemain termasuk hero mereka, Messi disifatkan terancam dengan keadaan peminat yang tidak terkawal, perarakan menaiki bas di jalan utama bandaraya tersebut telah dibatalkan.
Demi keselamatan semua, pihak berkuasa terpaksa menghentikan perarakan separuh jalan sebelum para pemain dibaw menaiki helikopter. Helikopter kemudian dilihat terbang rendah dengan para pemain memberi lambaian dan disambut penuh girang oleh peminat yang bersesak di sepanjang jalan.
“Juara Dunia terbang di sepanjang jalan dengan helikopter karena tidak memungkinkan untuk melanjutkan perjalanan di darat dengan ledakan kegembiraan rakyat," satu cuitan ditulis di Twitter, lapor ESPN.
Dilaporkan sehingga 4 juta orang memadati jalanan di bandaraya tersebut yang juga disifatkan sebagai kejadian paling luar biasa di Argentina pada 20 Disember 2022.