Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Petugas Mengalami Gejala Burnout” - DG Hisham Bimbang Sistem Kesihatan 4 Negeri Akan Lumpuh Jika…

Hanafis Haris 07/07/2021 | 22:43 MYT

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah meluahkan rasa bimbangnya terhadap sistem kesihatan negara khususnya membabitkan empat negeri.

Menurut Noor Hisham, purata kes baharu harian selama 7 hari (30 Jun 2021 hingga 6 Julai 2021) adalah sebanyak 6,539 kes.

Menurutnya, jumlah itu didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari.

“Lebih membimbangkan lagi, tren kemasukan kes-kes COVID-19 ke Unit Rawatan Rapi (ICU) masih berada pada tahap yang tinggi.

“Pada masa yang sama, petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gelaja burnout kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID-19 untuk tempoh yang kian berlarutan,” katanya.

Jelasnya, sehingga kini, empat negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital iaitu Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan, dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Kes harian baharu yang dilaporkan tidak menunjukkan tanda-tanda pengurangan malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama 7 hari kebelakangan ini.

“Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku.

“KKM khuatir dengan situasi ini dan mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan,” katanya.

Tambahnya, negeri-negeri yang telah beralih ke fasa dua dinasihatkan untuk terus mengamalkan kepatuhan yang penuh kepada prosedur operasi standard (SOP) yang telah digariskan bagi memastikan situasi di negeri tersebut dapat terus pulih.

Pada masa yang sama, KKM menggalakkan semua negeri untuk terus menjalin dan menggandakan kerjasama antara semua pihak dalam membendung penularan wabak COVID-19 di negeri masing-masing.

;