Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Picit Jerawat, Cabut Bulu Hidung, Boleh Undang Strok

Izwan Isa 18/10/2023 | 07:20 MYT
Perbuatan mencabut bulu hidung dan memicit jerawat mungkin dianggap sebagai satu perkara yang biasa.
Begitupun, perbuatan tersebut sebenarnya boleh mengundang hal kesihatan yang lebih parah!
Sepasukan doktor penyakit berjangkit di Universiti John Hopkins, Amerika Syarikat mendapati perbuatan tersebut boleh mengundang penyakit strok atau lebih dikenali sebagai angin ahmar.
Penemuan itu dikongsikan Public Health Malaysia menerusi satu entri yang dimuat naik di Facebook.
Katanya, orang ramai disaran untuk mengelakkan perbuatan tersebut terutamanya melibatkan kawasan segi tiga 'kematian' di muka.
"Kawasan segi tiga ini adalah berkait dengan infeksi bakteria yang dikatakan boleh menyebabkan jangkitan di sekitar otak dan juga boleh menyebabkan strok.
"Bagaimanapun, ia sangat jarang berlaku disebabkan antibiotik dan sukar untuk bakteria merebak secara melawan arus di dalam salur darah.
"Namun, ianya boleh berlaku jika kuman tersebut sudah menjadi kuat dan antibiotik tidak lagi boleh melawan kuman tersebut atau jangkitan kulit yang sangat teruk," katanya.
Justeru, katanya adalah penting bagi orang ramai mengelakkan perkara yang boleh menyebabkan kulit terdedah dengan kuman akibat aktiviti memicit jerawat dan mencabut bulu hidung.
Lebih-lebih lagi apabila bimbang sekiranya terdapat bakteria yang mempunyai daya tahan kuat pada rintangan antibiotik.
"Ingat, kita sudah lama tidak menjumpai antibiotik kelas baharu. Kali terakhir kelas antibiotik yang dijumpai adalah pada tahun 1987 iaitu lipopeptides.
"Sehingga kini, kita hanya membangunkan antibiotik sedia ada untuk menjadi lebih baik. Semakin lama semakin sukar untuk merawat kuman bakteria. Public Health Malaysia sentiasa menekankan konsep pencegahan lebih baik daripada berubat.
"Jadi amalkan sanitasi yang baik, elakkan memicit jerawat atau mencabut bulu hidung. Dan jika ingin melakukan prosedur, pastikan ianya adalah teknik steril," jelasnya.
Infografik: Public Health Malaysia
#Cabut bulu hidung #Picit Jerawat
;