Laman Utama

Plong! Bawa Era Baharu New Wave Nusantara, Apakah Itu?

Amri Hassan
05/04/2023
11:29 MYT
Sponsor Banner
Plong! Bawa Era Baharu New Wave Nusantara, Apakah Itu?
Dalam suatu era yang dilimpahi kepelbagaian dan gamat dalam kesibukan untuk mencari sesuatu hasil yang baru dan moden, ramai yang melihat ke belakang untuk menggali semula unsur-unsur seni yang terdahulu mahupun dalam seni lukisan, grafik, filem dan sebagainya; untuk mencari sesuatu yang asli dan unik. Perkara ini sangat nyata dalam dunia muzik, dan di dalamnya terdapatlah sebuah kumpulan yang bernama Plong!.
Plong! terdiri daripada 5 orang anggota; Hidayat Nasir (pemain gitar), Anas Afandi (pemain drum), Akmal Borhan (pemain bes), Acin Nasir Pukul (pemain synth) dan Fahmi Samsuddin (penyanyi).
Sebelum terlengkapnya kumpulan mereka dengan kelima individu ini, Plong! pada asalnya hanyalah Hidayat, Anas dan Akmal, dengan tambahan seorang penyanyi bernama Firdaus, seorang sahabat yang telah pun pulang ke rahmatullah, dan seorang pemain gitar kedua iaitu Alef.
Kelima anggota ini bertemu pada pertama kalinya di M.I.A (Malaysian Institute of Art); sebuah institusi di mana mereka mempelajari jurusan seni halus.
Dalam usaha untuk mencari aktiviti lain selain daripada pengajian mereka, mereka mendapati bahawa masing-masing mempunyai cinta yang sama terhadap muzik, dan citarasa dan cara pemikiran yang boleh digabungkan.
Lalu, Plong! pun ditubuh dan setelah melalui fasa kehilangan dua orang anggota mereka, mereka membawa masuk Fahmi, seorang artis indie yang mempunyai karya-karya tersendiri seperti Awang Samrow dan Kyogg, dan Acin, pemain drum untuk kumpulan Pitahati bersama Hidayat.
"Kumpulan saya, Pitahati, sudah pun mempunyai bunyi yang tersendiri. Dengan Plong! saya ingin bekerjasama dengan individu-individu lain untuk menulis lagu dengan pendekatan dan gaya yang lain yang tak sesuai disampaikan melalui Pitahati," kata Hidayat tentang sebab-sebab beliau menubuh Plong!.

Apa maksud Plong?

Plong!, yang membawa maksud nyaman dalam bahasa Jawa, juga merupakan nama sejenis pokok yang tumbuh dengan banyak di kawasan Sungai Plong, Sungai Buloh; tempat membesarnya Hidayat dan Acin sekeluarga.
Setelah diusulkan oleh Omar, pemain bass kumpulan Ramayan, nama tersebut pun diambil pakai.
Selain daripada mempunyai fungsi sebagai nama, Plong! juga menggambarkan falsafah dan gaya musik mereka sebagai band. New Wave 80an, Disco Funk, Psychedelic Rock, Disco Punk adalah beberapa nama yang telah diletakkan pada muzik mereka.
Namun begitu, mereka hanya sekadar memakai genre-genre tersebut sebagai pengaruh dan estetik untuk menyampaikan muziknya pada intinya, mereka cuba untuk menyuntik identiti mereka sendiri ke dalam muzik mereka yang berdasarkan citarasa dan nuansa mereka sebagai sebuah kumpulan dan sebagai individu.
"Kita cuba untuk mencipta sesuatu yang menangkap perasaan futuristik tetapi pada masa yang sama mengekalkan nilai-nilai muzik terdahulu.
"Dari sudut fesyen pula kami cuba elak untuk menampakkan diri kami ini cuba untuk mengikut suatu zaman walaupun pengaruh gaya 60an-80an itu ada," kata Anas tentang arahan seni Plong!.

Kencana gabung disko funk

Kencana merupakan single pertama mereka di bawah terbitan Luncai Emas Sdn Bhd; sebuah lagu yang dapat memberi gambaran identiti muzik mereka dengan paling sesuai.
Gabungan Disco Funk bersama unsur-unsur ke-nusantara-an, Kencana dipilih untuk menjadi single pertama mereka kerana unsur-unsur yang senang ditangkap untuk pendengar umum dari segi rentak dan melodi.
"Proses musik untuk lagu ni sangat mudah sebenarnya. Asalnya niat kami hanya untuk mengusik seorang kawan yang sedang marah untuk dijadikan bahan gelak ketawa.
"Daripada itu terhasil sebuah melodi. Dari segi lirik, kita meninggalkannya buat masa yang lama kerana tidak tahu untuk buat lagu ini tentang apa.
"Tiba-tiba perkataan kencana yang bermaksud emas terlintas di fikiran lalu kita luaskan makna tersebut lagi untuk sesuaikan kepada mood dan perasaan lagu ini," kata Fahmi tentang inspirasi di sebalik lagu ini.

Apakah maksud kencana?

Maksud kencana adalah emas; sesuatu yang bernilai, lambang darjat atau sesuatu yang mengasyikkan dan membangkitkan obsesi.
Lagu ini menceritakan tentang perasaan cita-cita seseorang untuk mencapai sesuatu peringkat sehingga dapat bersama dengan perkara yang sangat bernilai baginya seperti Tuhan, cinta antara manusia atau dunia dan sebagainya.
"Kita cuba sampaikan dari sama ada pengalaman sendiri atau sekeliling kita tapi ditokok tambah dan dibalutkan untuk telinga pendengar umum.
"Selain itu, lagu- lagu kita banyak cerita pasal pengalaman dan persoalan-persoalan eksistensial, ketuhanan, percintaan dan detik-detik keasyikan tentang sesuatu dan juga perasaan-perasaan nostalgia yang dialami masing-masing," tambahnya.
Untuk Kencana, mereka tidak menggunakan perkhidmatan mana-mana produser.
"Kami masih belum jumpa produser yang sesuai dengan arahan seni kita. Selain daripada itu, untuk karya awal kita cuba untuk perah otak sehabis-habisnya secara kreatif antara anggota kami sendiri untuk mendapat sesuatu arahan seni yang kukuh," kata Akmal.
"Kami harap dengan pelancaran single ini kami memperolehi lagi banyak peluang untuk berkarya dan juga untuk membuat persembahan di pelbagai tempat dan negeri," kata Acin tentang harapan Plong! dengan single mereka ini.
Kencana kini sedia untuk didengari dan dihayati di semua platform streaming digital seperti Spotify, JOOX dan sebagainya.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar