Laman Utama
Polis Nafi Dakwaan Tidak Membenarkan Individu Tak Lengkap Vaksinasi Masuk Pusat Beli-Belah
Pihak polis menafikan dakwaan seperti yang tular dalam media sosial mengatakan anggotanya menghalang individu belum lengkap vaksinasi untuk memasuki sebuah pusat beli-belah di Bangsar, Kuala Lumpur.
Menerusi satu kenyataan media hari ini, Timbalan Ketua Polis Daerah Brickfields, Supt Basri Sagoni berkata, polis bantuan yang bertugas di lokasi tersebut telah memberi penjelasan serta menafikan pembabitan anggota polis dalam insiden seperti yang didakwa.
"Terkesan satu posting yang dimuat naik oleh seorang pemilik akaun Facebook mendakwa pihak polis menyekat masuk individu yang tidak lengkap dua dos vaksin dan individu yang tidak cukup tempoh 14 hari selepas vaksin dos kedua ke dalam premis perniagaan.
"Kejadian tersebut berlaku di sebuah pusat membeli-belah di Jalan Maarof Kuala Lumpur pada tarikh dan masa yang tidak dapat dipastikan.
'Pengurus Kanan Keselamatan Bandaraya Development Berhad sebagai Polis Bantuan yang merupakan agensi keselamatan di pusat membeli-belah ini telah tampil memberikan penjelasan dan menafikan penglibatan mana-mana anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepertimana tular di media sosial.
"Agensi terbabit tidak menafikan kemungkinan pelanggan tersilap tafsiran mengenai penjelasan Polis Bantuan yang bertugas pada hari tersebut berhubung perubahan SOP yang diumumkan oleh Kerajaan," katanya.
Justeru, beliau menasihati orang awam untuk tidak membuat sebarang spekulasi bagi mengelakkan kegusaran masyarakat.
"Orang awam dinasihatkan untuk tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan posting tular ini bimbang mewujudkan kegusaran masyarakat dan hendaklah mematuhi semua peraturan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan.
"Sebarang perubahan di dalam Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) hendaklah dipatuhi," katanya lagi.
Kredit Foto: AWANI