Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

PPM Saman Persatuan Karyawan & Freddie Fernandez

Fiza Kamarudin 10/02/2021 | 08:57 MYT

Public Performance Malaysia (PPM) mengambil tindakan undang-undang terhadap Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) dan pengerusinya, Freddie Fernandez.

PPM menerusi sebuah kenyataan mendakwa Freddie telah membuat kenyataan fitnah terhadap mereka pada tahun lalu.
PPM juga pada hari ini (12 Januari) telah menyerahkan Penyataan Tuntutan (Statement of Claim) kepada Karyawan dan Freddie.
Pengerusi PPM, Rosmin Hashim, berkata, PPM telah mengeluarkan Surat Tuntutan (Letter of Demand) kepada pihak Karyawan dan Freddie pada 12 November 2020 menuntut agar permohonan maaf dibuat secara terbuka, menarik balik kenyataan dan penyebaran fitnah terhadap PPM.
Namun menurut Rosmin, pihak Karyawan dan Freddie enggan berbuat demikian.
“Adalah amat mengecewakan apabila Karyawan dan Freddie secara sengaja dan berulang kali membuat dan mengakibatkan pengeluaran artikel dan kenyataan yang tidak benar.
“Walaupun beliau tahu kenyataan tersebut mampu menjatuhkan reputasi PPM sebagai badan pelesenan sah bagi ahli-ahlinya yang terdiri dari syarikat-syarikat rakaman tempatan dan antarabangsa.
“Adalah mendukacitakan walaupun pelbagai usaha dibuat pihak PPM untuk menegakkan kebenaran menerusi kenyataan balas media, namun Freddie dan Karyawan berterusan memfitnah PPM.
“Kami tiada pilihan lain selain mengambil tindakan undang-undang di atas kenyataan fitnah tersebut”, kata Rosmin.
Tambah Rosmin, PPM telah mengeluarkan beberapa kenyataan media pada 13 Oktober 2020 dan 10 November 2020 untuk membetulkan kenyataan tidak benar yang dibuat oleh Freddie Fernandez.
“Kenyataan fitnah yang dibuat oleh Karyawan dan Freddie telah mengakibatkan gangguan kepada aktiviti pelesenan kami dan menyukarkan lagi kerja kami untuk mengutip yuran pelesenan bagi pihak ahli-ahli kami dalam persekitaran pasaran yang amat mencabar,” ujarnya.
Selain daripada mengambil tindakan sivil, PPM juga telah membuat laporan polis terhadap Karyawan dan Freddie Fernandez atas kesalahan jenayah fitnah serta membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) atas kesalahan menyalahguna internet untuk menghasil dan menyebar komen dan berita palsu dengan niat untuk mengganggu PPM.

#saman #Mahkamah #Karyawan #PPM #Freddie Fernandez
;