Laman Utama

Proses Rakaman, Klip Video, Sampul Album… Ini 8 Fakta Yang Peminat Perlu Tahu Tentang SITISM

Izwan Isa
23/09/2023
03:50 MYT
Sponsor Banner
Proses Rakaman, Klip Video, Sampul Album… Ini 8 Fakta Yang Peminat Perlu Tahu Tentang SITISM

Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza baru sahaja melancarkan album studio ke-20, SITISM secara rasmi pada Khamis lalu.

Mengandungi 12 trek, SITISM digambarkan sebagai sebuah album yang mempunyai nilai sentimental yang sangat tinggi. Bahkan, menurut Siti, merakamkan SITISM dirasakannya seperti merakam album debutnya puluhan tahun lalu.
Berpeluang duduk dan berbicara dengan puspita hati kesayangan ramai tempoh hari, Gempak merangkumkan fakta yang peminat perlu tahu tentang SITISM dan apa yang boleh dinantikan sepanjang berlangsungnya era baharu ini.

Undi

“Seperti biasa, pemilihan lagu dibuat tanpa mengetahui siapakan pencipta dan penulis lirik bagi setiap karya. Selepas mendengar demo, team Siti dan team Universal Music Malaysia membuang undi untuk menentukan lagu-lagu yang bakal dimuatkan dalam album,” terangnya.

Seperti rakam album pertama

Menurut Siti, merakamkan SITISM diibaratkan seperti merakam album pertama memandangkan kerjasama yang dijalinkan bersama komposer-komposer muda dianggap sebagai satu pengalaman baharu yang sangat bernilai.

“Macam lagu Ganti… penyanyi-penyanyi sekarang kan suka lagu seperti itu. Berbanding cara saya menyanyi yang penuh emosi dan ada lenggok pada setiap patah lirik, Ganti memang berbeza.
“Sungguhpun lagu Ganti kedengaran relax, tapi susah sebenarnya. Sebab cara lagu ini perlu dibawa dengan penuh karakter.
“Sama juga seperti lagu Teratas ciptaan Tomok. Range lagu ini tinggi, tetapi Tomok nak saya nyanyi seperti berbisik. Setiap komposer ada sisi berbeza mereka dan mereka juga mahu saya nyanyi mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

3 jam

Siti cukup terkenal sebagai penyanyi yang mampu menyempurnakan proses rakaman lagu dengan pantas. Rekod peribadi yang dipegang oleh Siti adalah sekitar sejam, ketika merakamkan lagu Menjaga Cintamu. Namun, lain pula kisahnya terhadap proses rakaman beberapa lagu dalam SITISM.

“Disebabkan keadaan suara dan kesihatan yang tidak baik… nafas pun pendek, saya rasa sedikit down ketika mahu rakamkan lagu. Sehinggakan saya perlu ambil masa sehingga tiga jam untuk selesaikan. Biasanya cepat… ada lagu yang sejam sudah siap. Bayangkan… kita jadi frust.
“Tambahan pula, proses rakaman berlangsung pada bulan Ramadan, nak minum air pun tak boleh. Itu lah cabaran sebab kita nak yang terbaik,” kongsinya.

Rakam 5 lagu sebanyak dua kali

Atas sebab keadaan suara yang tidak memberangsangkan dan kesihatan yang turun dan naik, ada beberapa lagu dalam SITISM yang diulang rakam oleh Siti.

“Lagu Teratas, Romansa Kita, Ganti, Tanpa Diri-Mu dan Senyawa… saya rakam sebanyak dua kali. Saya memilih untuk merakam semula sebab kadang-kadang suara terlalu serak, atau kadang-kadang rakaman pertama tiada jiwa.
“Saya sendiri dengar pun tak puas hati. Tapi lain pula dengan komposer Andi Rianto yang suka dengar suara serak saya. Farouk pun suka suara serak saya sebab ia kedengaran berbeza dengan suara saya dalam lagu-lagu sebelum ini,” katanya.

Komposer ‘garang’?

Berdepan dengan komposer baharu membuatkan Siti terpaksa berdiplomasi dengan cita rasa anak-anak muda

“Sebelum mula rakaman, saya akan minta masa 30 minit untuk warm-up suara, kemudian baru mulakan proses rakaman. Saya juga beritahu mereka, kalau nak kekalkan melodi seperti yang dicipta, kena maklumkan kepada saya. Kalau tak, saya akan buat cara sendiri.
“Macam komposer-komposer muda ni, mereka selagi boleh nak saya menyanyi seperti apa yang mereka bayangkan. Kadang-kadang saya rasa dah ok, tapi mereka minta cuba lagi. Sampailah saya keluarkan mode mak-mak… ‘Kita cuba eh…’ saya kata pada mereka.
“Tapi, bila dah berjaya dapat seperti apa yang mereka mahu, dan bila saya dengar balik, baru saya faham.. ‘oh betul lah apa yang mereka nak’. Sungguhpun kena rakam berkali-kali, tapi hasilnya memang kedengaran berbeza dan bagus,” tutur Siti.

Penceritaan Melly Goeslaw

Menyentuh pula tentang lagu Menyapa Dunia hasil nukilan Melly Goeslaw, Siti menjelaskan: “Benar, saya minta Melly untuk tulis lagu berkenaan dengan diri saya. Apabila dapat lagu dan baca lirik, saya suka sangat. Liriknya sangat kena dengan perjalanan karier saya sebagai anak seni. Sebab itu saya pilih Menyapa Dunia sebagai trek pertama untuk membuka SITISM. Lagu ini juga tentulah sebagai tanda terima kasih saya kepada peminat,” katanya.

Klip video

Dalam pada itu, Siti turut menjangkakan rakaman klip video bagi lima hingga enam lagu daripada SITISM.

“Itulah… best lihat ramai peminat yang mempunyai pilihan berbeza terhadap lagu-lagu dalam album ini. Ada peminat suka Romansa Kita, ada yang suka Ganti, ada yang obses Magis, tak lupa juga yang gemarkan Nadi dan Teratas.
“Alhamdulillah, lagu-lagu yang kita pertaruhkan dalam album ada pencintanya tersendiri. Jadi, sebab tu saya confuse nak buat klip video bagi lagu mana dulu?! Namun, kalau ikutkan, Menjaga Cintamu dikira sebagai klip video pertama daripada SITISM.
“Tapi, tentulah Romansa Kita sebagai lead single bakal mempunyai klip video sendiri,” kongsi Siti.
Ditanya, adakah kepergian ke Korea baru-baru ini turut melibatkan proses rakaman klip video bagi lagu-lagu dalam SITISM, jawab Siti: “Saya ke Korea atas dasar tugas sebagai duta bersama Cuckoo. Dan alhamdulillah, Cuckoo bermurah hati membantu menaja rakaman dua klip video di sana,” kongsinya lagi.

Sampul album

Bercerita mengenai sampul album, Siti mengakui yang SITISM merupakan antara sampul album yang digemarinya.

“Sebenarnya, headphone yang saya ‘pakai’ pada sampul album itu ditambah selepas sesi fotografi. Pada mulanya, kami nak guna AI, yelah zaman sekarang ni kan semua AI. Tapi cadangan itu terpaksa dibatalkan atas sebab tertentu.
“Jadi, designer sunting satu persatu apa yang ada pada headphone itu sebelum ia menjadi sampul album seperti apa yang peminat lihat,” tutup Siti.
SITISM dan SITISM (Deluxe Album) sudah tersedia di semua platform digital sementara album versi fizikal juga sudah mula dijual.
BACA: Begini Cara Siti Tangani Masalah ‘Suara Serak’ Sepanjang Rakam Album SITISM​
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar