Laman Utama

Protes Alicia Amin Di KLFW2022, Ramai Mulai Bersuara! - "Siapa Belum Dapat Bayaran Datang Jumpa Saya"

Amri Hassan
20/08/2022
04:50 MYT
Sponsor Banner
Protes Alicia Amin Di KLFW2022, Ramai Mulai Bersuara! - "Siapa Belum Dapat Bayaran Datang Jumpa Saya"
Peragawati dan pelakon Alicia Amin tampil berani dengan melakukan protes di perkarangan dan pintu masuk pusat beli-belah terkenal Pavilion Kuala Lumpur, lokasi sedang berlangsungnya Kuala Lumpur Fashion Week 2022 (KLFW2022) baru-baru ini.
Ketika protes terbabit, Alicia berdiri dan memegang sepanduk yang tertera tulisan berbunyi; 'All models this year to be paid within the day. Those still watching for Andrews’s payment from previous years, come speak to me’.
Malah, ketika protes itu, Alicia turut bertemu dengan pengasas KLFW sendiri, Andrew Tan, sebelum Alicia diarahkan beredar oleh pasukan keselamatan.
Pun begitu, Alicia dilihat terlibat dengan pertunjukan beberapa jenama tempatan kemudiannya antaranya Afiq M, Syomirizwa Gupta dan Rizman Ruzaini.

Alicia Amin masih sokong pereka fesyen

Kongsi Alicia di laman Instagramnya, dia masih punyai hubungan baik dengan para pereka fesyen tempatan dan berbesar hati untuk terlibat dengan pertunjukan fesyen mereka.
"Untuk menjelaskan beberapa kekeliruan, pereka fesyen boleh memilih model selain dari model yang dipilih oleh pihak KLFW.
"Saya mempunyai hubungan yang baik dengan para pereka fesyen tempatan dan buat mereka yang sering mengundang saya untuk berjalan di pertunjukan fesyen mereka, saya sangat berbesar hati.
"Saya telah menjadi peragawati selama 12 tahun. Saya lelah dengan semua ini. Saya berjuang seorang diri kerana saya tidak mahu merisikokan kerjaya dan reputasi orang lain.
"Saya boleh melakukan protes dan tidak bersetuju dengan pihak penganjur tetapi pada masa yang sama, saya juga masih menyokong pereka fesyen yang telah membantu membina kerjaya saya kerana dua entiti ini adalah berbeza," tulisnya.
Tindakan berani Alicia itu mendapat perhatian ramai termasuk model tempatan yang turut menerima nasib serupa.

Andrew Tan lambat bayar tapi tetap akan bayar

Terdahulu, Andrew memaklumkan punca modelnya lambat dibayar bertitik tolak daripada bayaran lewat yang diterima daripada rakan penajanya.
"Model-model itu tidak boleh mendakwa kami tidak membayar perkhidmatan mereka. Sesetengah bayaran mungkin lambat tetapi kami tetap akan membayar.
"Kadang-kala, disebabkan suatu situasi yang tidak dijangka, ia mungkin membuatkan kami terlepas pandang. Jadi, silakan tampil ke hadapan," katanya kepada media tempatan sebelum ini.
Related Topics
Must-Watch Video
Unitar