Berita
PU Amin Pesan Gambar Jenazah Bukan Untuk Ditayang Kepada Umum - "Boleh Rakam Video & Gambar Tetapi ..."
Susulan kisah tular jenazah bayi disimpan sehingga 16 hari yang meruntun hati ramai, pendakwah bebas, PU Amin mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi perkara melibatkan pengurusan jenazah sehingga boleh menimbulkan perbalahan.
BERITA BERKAITAN: Isu Bayi Dibekukan: Tiada ‘Buku Pink’ Bukan Bermaksud Belum Bernikah - “Kesusahan Saya Tiada Siapa Yang Tahu”
BERITA BERKAITAN: Isu Bayi Dibekukan: Suami Dedah Isteri Alami Kemurungan & Sukar Tidur - “Pihak Hospital Kutuk Dia Sebab Lahirkan Anak Tak Sempurna”
Katanya, jenazah terutama yang tidak lengkap anggota badan atau bermasalah hanya boleh dirakam untuk tatapan keluarga dan bukan untuk dikongsi kepada umum.
Hal ini kerana boleh mendatangkan situasi yang tidak diingini.
"Pengajaran dalam isu baru-baru ini, kita biarkan pihak polis dengan siasatannya, pihak hospital dengan kepakaran dia.
"Kita biarkan pihak keluarga tenang-tenang sahaja dan kita biarkan pihak pengurusan jenazah dengan kerjanya tanpa mewawarkan kepada orang ramai hingga mendatangkan perkara tidak baik dan terus berbalah di media sosial
"Jadi apa yang perlu kita lakukan ialah biarkan semua buat kerja masing-masing. Hospital ada kerja dia, keluarga ada kerja dia dan orang awam doakan yang baik-baik.Itu yang terbaik.
"Namun apa yang berlaku kita tidak boleh salahkan pihak hospital dan kita tidak boleh tunding jari pada pihak keluarga.
"Kita perlu faham dalam urusan jenazah boleh diambil video dan gambar namun hanya untuk diri sendiri. Bukan untuk tontonan umum kerana akan timbul bermacam-macam isu," katanya kepada Gempak.
PU Amin menyatakan perkara itu ketika diminta mengulas mengenai kejadian jenazah bayi lelaki yang pernah ‘ditahan’ dalam peti mayat di sebuah hospital swasta dipercayai akibat bapanya tidak mempunyai wang yang cukup untuk menuntut jenazah tersebut.
Kisah itu dimuatnaik di Facebook pengurusan jenazah Islam Mr Wan Chai Official yang memaklumkan, pihaknya terpaksa menggunakan air panas dicampur dengan air paip bagi melembutkan tubuh dan sendi mayat bayi tersebut.
Pada hantaran yang lain, lelaki itu memaklumkan, bukan sahaja jasad Muhammad Adham Mikail ‘ditahan’ selama 16 hari, tetapi ibunya juga tidak dibenarkan keluar dari wad sehingga bil diselesaikan.
Dalam pada itu, polis sudah melengkapkan kertas siasatan berhubung kes jenazah bayi lelaki 'disimpan' dalam peti sejuk di sebuah hospital swasta di Klang, Selangor, kerana ibu bapanya tidak menjelaskan bil dalam kejadian baru-baru ini.
Bagaimanapun menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan semalam dilaporkan berkata, bagaimanapun ia belum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR) kerana menunggu beberapa dokumen daripada pihak hospital.