Puji Yusof Haslam, Dr Zulkifli Beri Nasihat Pada Syamsul & Keluarga, Netizen Pun Kena! Memang Padu! Ini Antara Senarainya
Mantan Menteri Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menitipkan pesanan buat pasangan yang menjadi sebutan satu Malaysia iaitu Syamsul Yusof, Puteri Sarah Liyana dan juga Ira Kazar.
Menerusi laman web beliau, Dr Zul yang memiliki kepakaran dalam bidang fatwa memberikan nasihat dan pandangan bernas tentang konflik rumah tangga yang hangat diperkatakan netizen itu.
Tidak hanya untuk pasangan sensasi tersebut, nasihat itu juga boleh digunakan buat mereka yang sudah menempuh alam perkahwinan.
Coretan tersebut bertajuk Surat Terbuka Untuk Syamsul Yusof Dan Keluarga.
“Semasa saya di dalam penerbangan Garuda Air menuju ke Jakarta pada tengahari ini pada 9 Januari 2023, saya sempat meneliti isu-isu semasa di media sosial.
“Masih hangat dibincangkan tentang saudara Syamsul Yusof, keluarga dan juga bapanya, Datuk Yusof Haslam.
“Isu yang agak lama berlarutan, sehingga dinoktahkan dengan pengakuan Syamsul baru-baru ini.
“Terlebih dahulu saya memohon maaf kepada semua yang terlibat dalam isu ini. Sejujurnya saya tergerak untuk mengemukakan sedikit nasihat.
“Bukanlah ingin membuktikan saya lebih mengetahui, tetapi sekadar ingatan bersama berdasarkan sedikit ilmu yang saya ada.
“Saya lafazkan ‘أستغفرُ اللهَ وأتوبُ إليهِ’. Mudah-mudahan kita beroleh sedikit panduan dan pedoman,” coretnya memulakan mukadimah.
Berikut merupakan beberapa poin penting nasihat daripada Dr Zulkifli yang boleh dijadikan panduan:
#Pertama: Agama itu adalah nasihat
“Kita mahukan apa yang terzahir adalah satu gambaran umat atau kelompok Muslimin yang bersatu padu, satu umat yang terpilih, yang sedar dan yang tegak di bumi di atas lunas-lunas kebenaran, keadilan dan kebaikan.
“Begitulah yang ditafsirkan oleh Sayyid Qutb Islam pada ayat di atas. Allah SWT mahukan mereka menjadi satu umat yang terpilih, kuat, sedar, siap siaga mengawasi kebenaran dan kebaikan dan sentiasa saling berpesan sesama mereka supaya menjunjung kebenaran dan bersabar dalam perjuangan dan hidup saling mesra, bekerjasama dengan semangat ukhuwah Islamiyah sebagaimana apa yang disarankan oleh kata-kata berpesan di dalam al-Quran. (Lihat Tafsir Fi Zilal al-Quran, 17/521). Begitulah besarnya peranan nasihat,”
#Kedua: Syabas kepada Saudara Syamsul
“Tindakan saudara meletakkan noktah bagi kemelut “cakap-cakap belakang” dengan mengisytiharkan perkahwinan tersebut adalah perlakuan yang berani.
“Saya katakan syabas kerana itulah kalimah yang terbaik kerana ia berakhir dengan tindakan yang selari dengan syarak.
“Semoga dengan ini, akan selesailah kemelut yang menjadi teka-teki yang hakikatnya menyebabkan keadaan menjadi lebih parah.
#Ketiga: Syabas kepada Datuk Yusof Haslam
“Sikap yang ditunjukkannya jelas amat matang. Nada suaranya memberi erti seribu satu macam makna yang hanya dirasai oleh seorang bapa yang sedaya upaya berlaku adil dengan menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh Allah SWT sebagai pencorak kepada selembar kain putih.
“Sifat kebapaan yang dizahirkan, mengingatkan saya kepada kisah Nabi Nuh AS yang tegas dengan prinsip dan sentiasa mendoakan yang terbaik untuk anaknya. Inilah yang sewajarnya kita insafi dan kita lakukan,”
#Keempat: Kepada keluarga semua pihak yang terlibat, wajib untuk kita beriman dengan qadha’ dan qadar.
“Ibn Kathir berkata: Hal ini berlaku untuk semua perkara. Boleh jadi manusia menyukai sesuatu, padahal tidak ada kebaikan dan maslahat sama sekali di dalamnya..
“Allah yang mengetahui akhir sesuatu dari perkara kita. Allah yang mengkhabarkan dengan apa yang ada maslahat untuk dunia dan akhirat kita. Maka lakukan dan patuhlah pada perintah-Nya, nescaya kita akan beroleh petunjuk.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 1/573).
“Ini bersyaratkan dengan redha dan patuh kepada perintah Tuhan dan Rasul, buat mengikut kehendak-Nya dan menghindarkan hanya beriman dengan emosi dan perasaan. Kenyataan ini ditegaskan oleh tokoh tasawuf, Ibn ‘Ata’illah al-Sakandari.”
#Kelima: Sikap kita semua
Kita akan menuju untuk menemui Tuhan. Ambillah kebaikan dalam hidup dan jadikan keburukan sebagai sempadan untuk membina semula kehidupan yang baharu. Tidak ada yang sempurna kerana kehidupan itu sendiri adalah medan ujian.
Untuk senarai dan bacaan penuh, anda boleh layari laman web beliau, maktabahalbakri.com.
Terdahulu, Puteri Sarah telah memohon suaminya, Syamsul Yusof agar 'melepaskannya' dengan cara baik kerana dirinya tidak sanggup hidup bermadu dengan wanita yang baru dikahwini Syamsul.
BACA: "Mohd Syamsul, Saya Minta Lepaskan Saya" - Puteri Sarah Tak Rela Dimadu
Jumaat lalu, Syamsul Yusof mengejutkan ramai pihak apabila mendedahkan dirinya telah berkahwin dengan Ira Kazar berwalikan Kazar Saisi sendiri.
Pergolakan rumah tangga Syamsul dan isteri pertamanya, Puteri Sarah Liyana terus menjadi topik bicara sepanjang minggu lalu hingga kini.