Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Puteri Sarah Selesai Kes Dengan Ira Kazar Di Luar Mahkamah Secara Baik

Gempak 05/07/2023 | 10:23 MYT
Pelakon Puteri Sarah selesaikan kes saman terhadap bekas madunya, Ira Kazar berhubung kes menggangu rumah tangganya dengan pengarah filem Mat Kilau, Syamsul Yusof di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu, secara baik.
Mengesahkan perkara itu, peguam, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff berkata, perkara itu dimaklumkan ketika pengurusan kes di hadapan Hakim Norakhmar Mohd Sani.
Menurutnya, mahkamah merekodkan penghakiman persetujuan dicapai antara Puteri Sarah, 38, atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin selaku plaintif dengan Ira Kazar atau Faghira Fatini Kazaruddin (defendan).
"Kedua-dua pihak telah menyelesaikan kes secara damai di luar mahkamah," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Dalam kes ini, Ira Kazar, 28, dan keluarganya diwakili peguam, Ammar Ghalip.
Pada Jun 2022, Puteri Sarah memfailkan saman terhadap Ira selepas anak pelakon veteran itu didakwa mengganggu rumah tangganya.
Pada 4 Julai tahun sama, Mahkamah Sesyen di sini mengeluarkan perintah injunksi inter-parte (kedua-dua belah pihak) yang antara lainnya menyatakan Ira atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan Ira menjejaskan ketenteraman dan kedamaian Puteri Sarah dan keluarganya serta keluarga mentuanya termasuk suaminya, Syamsul.
Ira juga dihalang daripada mendekati atau berada dalam jarak 500 meter daripada Puteri Sarah, keluarganya dan keluarga mentuanya, suaminya atau sesiapa yang mempunyai kaitan dengan isteri pertama Syamsul itu.
Pada 14 Jun lalu, Syamsul atau nama penuhnya Mohd Shamsul Md Yusof melafazkan cerai talak satu buat kali kedua terhadap isteri pertamanya, Puteri Sarah.
Semasa prosiding, mahkamah membenarkan permohonan cerai yang difailkan Puteri Sarah terhadap suaminya yang berusia 39 tahun, pada 16 Januari lalu.
Untuk rekod, Syamsul dan Puteri Sarah berkahwin pada 8 Mac 2014 dan dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4.
Kemelut rumah tangga Syamsul dan Puteri Sarah mula diperkatakan sejak empat tahun lalu, tetapi anak kepada Datuk Yusof Haslam itu tidak pernah membuka mulut mengenai perkara itu.
Pada 6 Januari lalu, Syamsul akhirnya mengotakan janji untuk ‘meletak titik noktah’ pada teka-teki perhubungannya dengan Ira, apabila mengakui sudah menikahi wanita itu di Thailand.
Pelakon Lu Pikirlah Sendiri de Movie, Puteri Sarah kemudiannya memfailkan permohonan cerai terhadap Syamsul pada 16 Januari lalu, menerusi Tetuan Akberdin & Co.
Sumber: Sinar Harian
;