Laman Utama
Putus Cinta Dengan Jennifer Lopez, Alex Rodriguez Keluarkan Produk Make Up Untuk Lelaki
Selepas putus cinta dengan selebriti terkenal Jennifer Lopez, bekas kekasihnya yang merupakan atlit bola keranjang Alex Rodriguez kini menyibukkan diri dengan menceburi bidang baharu.
Rodriguez, 45, menerusi perkongsiannya di laman sosial kini sedang berkolaborasi dengan pengusaha kosmetik Hims & Hers dan bakal melancarkan produk kosmetik untuk lelaki.
Produk yang disifatkan sesuai untuk lelaki yang mahukan waktu yang cepat untuk bersolek itu bakal dilancarkan tidak lama lagi.
"Saya ingin mencipta produk yang menjadi penyelesaian kepada masalah yang saya sendiri hadapi setiap hari.
"Saya sedar ketika perlu menghadiri satu acara ke acara lain, saya perlu sesuatu yang cepat dan mudah sekurang-kurangnya concealer untuk menutup jerawat dan bekas bercukur," tulisnya.
Produk pertama yang bakal dilancarkan Rodriguez adalah concealer yang diberi nama The Blur Stick.
Selain mempunyai lapan pilihan warna, concealer untuk lelaki ini mengandungi ekstrak lidah buaya dan minyak jojoba yang berfungsi untuk melembapkan kulit dan mengurangkan iritasi.
Sebelum putus cinta dengan Jennifer Lopez, pasangan itu merupakan pelabur syarikat kosmetik tersebut selain menyalurkan modal dengan sebuah aplikasi kecergasan, Fitplan.
Biarpun sudah berpisah, Rodriguez dan Lopez tetap meneruskan perniagaan mereka bersama.