Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

Qalbox Penuh Dengan Kandungan Hiburan Muslim Global, Mudah Akses Dengan Hanya Guna Aplikasi Muslim Pro - “Drama & Filem Yang Dipilih Selamat Untuk Ditonton”

Asyikin Mayudin 05/12/2022 | 05:55 MYT
Selepas kejayaan aplikasi Muslim Pro, Bitsmedia melancarkan perkhidmatan penstriman video atas permintaan langganan global (SVOD) baharu iaitu Qalbox pada 1 Disember lalu.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Bersama Bitsmedia, Fara Abdullah, Qalbox menganjurkan sumber kandungan luas yang meraikan identiti dan budaya Muslim global dalam mewujudkan platform berfokuskan Muslim.

“Kita bermula dengan Muslim Pro di mana ia mendapat sambutan yang sangat baik. Ramai yang menggunakan platform itu untuk tahu waktu solat, kiblat dan Al-Quran.

“Kami terima banyak pertanyaan daripada pengguna yang ingin tahu apa lagi yang kami ada untuk berikan kepada mereka. Jadi, kami muncul dengan ‘content’ yang keseluruhannya mengenai Muslim.

“Kita terfikir juga kenapa tak ada platform yang mewakili Muslim seluruh dunia. Jadi, sekarang kita ada Qalbox yang memaparkan semua content untuk muslim.

“Ada dokumentari mengenai perjalanan seorang Muslim dan penonton juga boleh belajar mengenai budaya Muslim di negara luar,” katanya kepada Gempak.

Menariknya lagi, Qalbox juga mempunyai segmen hiburan seperti drama dan filem yang dipilih mengikut kesesuaian kandungan Muslim selain selamat untuk ditonton semua lapisan masyarakat.

“Kami ada terfikir juga sama ada perlu asingkan atau tidak kandungan hiburan seperti drama dan filem. Tapi memandangkan kita ada banyak lagi aplikasi, tak kan kita nak buat lagi aplikasi baharu.

“Jadi, kami reka aplikasi yang mudah untuk pengguna akses semua kandungan dalam satu platfrom. Kami ada team yang dipanggil ‘moderation’ di mana mereka ada guideline.

“Mereka ini yang akan memastikan drama dan filem yang dipilih untuk disiarkan dalam Qalbox selamat untuk ditonton. Pemilihan itu termasuklah dari segi penggunaan dialog dan babak,” ujarnya.

Penonton tempatan akan mempunyai akses kepada pelbagai kandungan mesra Muslim dari seluruh dunia, antaranya siri dokumentari pendek I Am Muslim, komedi oleh Maz Jobrani: Pandemic Warrior (Highpoint Productions), siri televisyen Little Mosque on the Prairie (Westwind Pictures), siri animasi kanak-kanak yang dicalonkan Emmy, Burka Avenger (Unicorn Black Studios), dan bacaan al-Quran serta doa-doa.

Dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 1 Disember, Qalbox boleh diakses melalui aplikasi Muslim Pro dengan langganan 2 dalam 1, memberikan pengguna Muslim Pro dua tawaran dalam satu aplikasi mudah alih.

Sempena pelancarannya, pengguna Malaysia boleh mendapatkan Qalbox pada harga promosi RM4.90/bulan atau pelan langganan tahunan RM49.90/tahun untuk masa yang terhad sahaja.

Qalbox tersedia untuk tontonan pada telefon pintar, aplikasi web, tablet dan SMART TV Chromecasting.

#Muslim Pro #Aplikasi Qalbox #Kandungan Muslim #Qalbox #Qalbox Muslim
;