Hiburan
Raja Azura Pesan Pelakon Baharu Jangan Kekwat! - "Dalam Hidup Ni Kalau Nak Kerja Kena Banyak Bertanya"
Pelakon Raja Azura meluahkan rasa kesal terhadap sikap segelintir pelakon baharu yang berasakan diri mereka lebih bagus dan tidak menghormati pelakon senior.
Bagaimanapun, Raja Azura atau mesra disapa sebagai kak Engku berkata dia tidak pernah lagi berdepan dengan situasi tersebut di set penggambaran.
“Kadang-kadang ada pelakon baharu yang rasa macam diri itu dah bagus bila dekat set penggambaran. Ada juga yang tak menghormati orang lama.
“Tapi Alhamdulillah, sepanjang saya ada dekat set setakat ini, perkara macam tu tak pernah lagi berlaku pada diri saya,” kata Raja Azura kepada Gempak.
Raja Azura berkongsi perkara itu ketika sidang media bersama barisan pelakon drama siri terbaharu, Malang Si Puteri secara maya baru-baru ini.
Tidak akan melayan karenah pelakon ‘kekwat’, Raja Azura turut berkongsi pengalaman dia pernah bekerjasama dengan beberapa diva terkenal iaitu Fauziah Ahmad Daud, Aida Rahim, dan Allahyarham Azean Irdawati.
“Sebab tu saya kata, andai kata pelakon itu macam kekwat, berlagak macam tu biarlah dia… saya buat tak tahu saja sebab dia la yang rugi. Dalam hidup ni kalau kita nak bekerja, kita kena banyak bertanya.
“Banyak bertanya banyaklah pengalaman yang dapat. Kalau awak rasa tak nak bertanya, rasa dah bagus sampai situ je lah bakat awak. Tak dapat pergi mana-mana lah, jauh ketinggalan.
“Macam saya dulu, saya berlakon berdepan dengan diva-diva sangat popular macam Fauziah Ahmad Daud, Aida Rahim, Norlida, Kuniey… saya juga banyak bertanya dengan Allahyarham Azean Irdawati.
“Setiap kali berlakon saya tak nak lepas peluang. Bila mereka berlakon saya akan pergi lihat di monitor. Monitor tu sebagai rujukan saya,” ujarnya.
Sementara itu, ibu kepada tiga orang anak ini juga menitipkan pesanan kepada pelakon-pelakon baharu agar lebih rajin membuat rujukan dan latihan untuk mendapatkan lakonan yang lebih berkesan.
“Hari ini kalau kita tengok, pelakon ramai je yang berlakon babak dia saja, dia tak ada pun pergi tengok pelakon lama dekat monitor.
“Saya selalu pesan pada pelakon baru kalau tak ada babak, pergi dekat monitor tengok orang-orang lama berlakon,” katanya.
Untuk info, selain Raja Azura, drama Malang Si Puteri turut dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Fasha Sandha, Wan Raja, Hafreez Adam dan Malek McCrone.