Laman Utama
'Raja Playboy' Pernah Kahwin 87 Kali, Netizen Tanya Apa Rahsianya?
Laporan mengenai seorang lelaki warga emas dari Majalengka, Jawa Barat Indonesia yang digelar 'Raja Playboy' kerana pernah berkahwin sebanyak 87 kali mendapat perhatian warganet.
Meninjau komen-komen di media sosial sebuah akhbar tempatan yang menyiarkan berita terbabit, ramai yang berseloroh mahukan tip atau rahsia dari lelaki yang dikenali sebagai Kaan itu.
"Apa rahsianya? Moh kita ngopi-ngopi dulu, saya belanja," tulis salah seorang pengguna.
Tribunnews baru-baru ini melaporkan kisah mengenai Kaan, 61, yang mengaku sedang merancang perkahwinan ke-88 dengan salah seorang bekas isterinya.
Menurut Kaan, dia tidak dapat menolak bekas isterinya itu untuk kembali kepadanya kerana wanita berkenaan amat ‘tergila-gilakannya’.
"Saya merancang untuk berkahwin dengan bekas isteri daripada perkahwinan ke-86. Meskipun sudah lama berpisah, perasaan cinta antara kami masih kuat dan saya enggan mempermainkan perasannya.
"Selama ini juga, dia masih ‘tergila-gilakan’ saya walaupun usia perkahwinan kami dahulu hanya sebulan," kata Kaan.
Tambah Kaan yang bekerja sebagai petani, dia mula berkahwin sejak berusia 14 tahun dan gadis pertama yang dinikahinya berusia 16 tahun.
Menurutnya, disebabkan sikapnya yang kurang baik ketika itu, isterinya meminta agar dia diceraikan selepas perkahwinan mereka bertahan selama dua tahun.
Disebabkan peristiwa tersebut, Kaan mengaku berasa marah kepada bekas isterinya justeru, dia mencari ilmu ‘kerohanian’ untuk membuatkan ramai wanita jatuh cinta kepadanya.
"Namun, saya tidak mahu melakukan perkara yang tidak elok kepada wanita yang saya kenali dan enggan mempermainkan perasaan mereka.
"Daripada membuat maksiat, lebih baik saya berkahwin," kata Kaan.
Sumber: Tribunnews, Kosmo!, Agensi