Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

“Rakyat Malaysia Dijangka Panjang Umur” - Tun Mahathir

Hanafis Haris 14/04/2021 | 22:33 MYT

Siapa sangka rupanya rakyat Malaysia dijangka bakal panjang umur dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang kini berusia 95 tahun.

Menurut Tun Mahathir atau lebih mesra disapa Tun M, lebih ramai rakyat Malaysia akan panjang umur dan mereka akan menyumbang ke arah pembentukan masyarakat berusia tidak lama lagi.

Jelasnya, pada 2020, lebih tujuh peratus penduduk Malaysia berusia 65 tahun dan ke atas.

“Menjelang 2030 pula, dijangka sebanyak 15 peratus rakyat negara ini berusia 60 tahun dan ke atas.

“Faktor penyumbang kepada senario ini adalah kerana usia rakyat Malaysia melebihi purata jangka hayat semasa.

“Selain itu, faktor lain adalah populasi yang agak sihat serta sistem penjagaan kesihatan yang agak baik berbanding banyak negara membangun lain,” katanya.

Tambah Tun M, tip penting untuk mereka yang mahu panjang umur adalah 'seseorang itu patut makan untuk hidup dan bukan hidup untuk makan'.

"Saya berjaya mengekalkan berat badan yang sama sejak 30 atau 40 tahun lalu, ia tidak berubah.

“Saya tidak makan banyak dan saya tidak makan berlebihan apabila rasa sedap,"

“Saya juga kekal aktif dengan berjalan di atas mesin 'treadmill' dan ada kalanya berbasikal,” katanya.

Sekadar info, Tun M dilahirkan pada 10 Julai 1925 dan mencipta sejarah sebagai pemimpin negara yang pernah dua kali dilantik menjadi perdana menteri serta perdana menteri tertua di dunia apabila dilantik semula selepas pilihan raya umum 2018.

Sumber : BERNAMA

#Viral #Malaysia #TunM #PanjangUmur #Umur
;