Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Laman Utama

"Ramai Tanya Kenapa Saya Sibuk Buat Konsert Di Filipina" - Min Yasmin Bikin Konsert Solo Pertama Di Sabah

Amri Hassan 27/11/2021 | 07:55 MYT
Penyanyi Min Yasmin teruja apabila akhirnya dapat merealisasikan impian mengadakan konsert solo dalam negara yang bakal berlangsung di Sandakan, Sabah pada Mac tahun depan.
Min, 33, atau nama sebenarnya Nurul Yasmin Abdul Aziz berkata, konsert Min Yasmin Live In Sandakan anjuran SS Event Management itu sepatutnya diadakan pada Oktober lalu.
"Disebabkan kerajaan baharu saja umumkan pembukaan semua aktiviti selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi konsert ini yang sepatutnya diadakan bulan lepas terpaksa tunda dulu. Insya-Allah semuanya sudah diatur dan pihak penganjur bersetuju untuk buat pada Mac tahun depan.
"Alhamdulillah, ini adalah konsert solo pertama saya dalam negara. Apa yang istimewanya adalah penonton kebanyakannya dalam kalangan suku kaum Bajau dan Suluk. Sebab permintaan sangat banyak.
"Selama ini mereka tanya kenapa saya sibuk buat konsert di Filipina dan bukannya di sini. Sebab ketika itu rezeki di sana. Dan sekarang baru diberi kesempatan untuk buat di negara sendiri,” katanya.
Menurut Min, konsert itu bakal diadakan selama dua hari di dua lokasi berbeza secara tertutup dan terbuka iaitu di Sabah Hotel dan Tiong Hua Hall, Sandakan.
"Alhamdulillah, dari segi lokasi konsert dan penaja sudah ada. Malah ramai yang sudah tempah tiket. Tapi memandangkan terpaksa tunda jadi kita bawa ke tahun depan. Mereka okay dan masing-masing tak sagar nak teruskan konsert ini.
"Insya-Allah, pada konsert ini saya akan menyanyikan lagu dalam Bahasa Suluk, Bajau dan Tagalog. Semoga kes Covid-19 semakin berkurangan dan konsert ini berjalan lancar," katanya.
Konsert itu juga bakal menampilkan penyanyi baharu Husadee dan beberapa lagi penyanyi tempatan di Sabah.
#Penyanyi #Konsert #Solo #Sabah #Min Yasmin #Sandakan
;