Laman Utama
Ratu Cantik Brazil, Isabella Menin Dinobat Miss Grand International 2022!
Ratu cantik kelahiran Brazil, Isabella Menin dinobatkan sebagai Miss Grand International 2022 dalam malam gala yang berlangsung di Jakarta, Indonesia pada Selasa.
Isabella, 25, mengenepikan empat calon juara lain iaitu Thailand, Indonesia, Venezuela dan Republik Czech untuk merebut gelaran juara tahunan pertandingan anjuran kali ke-10 itu.
Sebelum itu, lima lagi calon juara lain tersenarai antara 10 peserta terbaik iaitu Kemboja, Colombia, Mauritius, Puerto Rico dan Sepanyol.
Isabella beraksi cemerlang dalam pusingan sesi jawab dalam tempoh 60 saat ketika diberikan soalan mengenai pesanan kepada Vladimir Putin tentang perang antara Ukraine dan Rusia.
"Perang hanya akan menciptakan luka dan apa yang boleh kita lakukan ialah mula bertindak biarpun sekecil langkah.
"Melakukan diplomasi dan saling mengerti satu sama lain. Kerana bersama, perang dan luka akan hilang," demikian jawapannya yang menuai sorakan luar biasa penonton.
Kejayaan Isabella itu sekaligus menumpaskan 66 calon lain dari seluruh dunia yang bertanding demi merebut gelaran Miss Grand International 2022 tahun ini.
Isabella yang juga lulusan bidang perniagaan dan pengurusan Westminster Business School, London, England itu menyambung legasi Miss Grand International yang telah disandang wakil dari Vietnam, Nguyễn Thúc Thùy Tiên pada tahun lalu.
Selain itu, kostum kebangsaan terbaik berjaya dimenangi oleh Vietnam, Thailand, United Kingdom dan Peru.
Manakala, Miss Social Media telah diberikan kepada ratu cantik Republik Czech, Mariana Beckova.
Best Evening Gown pula menjadi milik Mexico, Laysha Salazar.
Apa kata jom semak fakta-fakta menarik tentang Isabella Menin.
- Dilahir dan dibesarkan di Marilia, Brazil.
- Punyai ketinggian 178 sentimeter, ibunya, Adriana Novaes merupakan bekas Ratu Cantik Marilia.
- Boleh bertutur dalam lima bahasa iaitu Portugis, Sepanyol, Inggeris, Perancis dan Itali.
- Punyai kelebihan menyanyi, berlakon dan seni fotografi.
- Seorang penggemar makanan dan akan mencuba hidangan tempatan di setiap negara yang dilawatinya.