Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!
Hiburan

The Real Cromok Buat Kejutan Di Tahun Ke-36, ‘Kembalikan’ Hillary & Man Keedal

Maliah Surip 24/09/2024 | 15:35 MYT
Cromok membawa kejutan di tahun ke-36 penubuhannya dengan sebuah persembahan ikonik yang menampilkan pemuzik, Hillary Ang dan Man Keedal dalam sebuah konsert yang dinamakan The Real Cromok.

Malam bersejarah
Dianjurkan oleh Pointlink Ventures, konsert ini djjadual berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 7 Disember nanti. Ini adalah penampilan pertama band thrash heavy metal ini bersama dua gitaris terkenal itu.
Karl, antara anggota terawal Cromok, berkata ia adalah sebuah malam bersejarah, bukan saja buat Cromok, malah para peminat yang mengikuti perjalanan band ini yang mencipta fenomena seawal album sulung, Image of Purity yang dirilis pada 1991 dengan karya seklasik Journey dan Metallurgical.
Persembahan itu juga, menurutnya, sememangnya telah lama dinantikan, terutamanya kemunculan semula Hillary yang menggantikannya pada 1999 dan sempat merakam empat album studio bersama Cromok, seawal album Mean, Meaner, Meanest.

“Ibarat sirih pulang ke gagang, kembalinya Hillary selepas 24 tahun untuk Konsert The Real Cromok pastinya dapat mengubati kerinduan peminat, apatah lagi dengan gandingan ikonik julung kali Karl-Hillary.

“Juga gandingan Karl-Man Keedal, buat pertama kalinya, yang bakal menghadiahkan momen bersejarah memandangkan Man Keedal langsung tidak pernah bermain secara live dengan Cromok sejak merakamkan gitar solo untuk lagu Misery bagi album 1993, Forever in Time,” katanya.
Selain Karl atau nama sebenarnya, Khairul Anuar Shariff, perjuangan band ini yang juga peneraju muzik fusion yang menggabungkan muzik tradisional dan heavy metal sehingga melahirkan terma “thrashditional” ini diteruskan bersama Shamsudin Ali atau Sam yang bermain bass.

Banyak kejutan
Sam adalah salah seorang pengasas bersama pemain dram, Allahyarham Tarmizi Mokhtar atau Miji yang meninggal dunia, Mac lalu. Seorang lagi pengasas, Allahyarham Muhammad Khairuddin atau Din yang lebih dulu keluar daripada Cromok telah meninggal dunia pada 1997.
Konsert malam itu akan diiringi Apis Cropox (dram), Shah Sidious (gitar) dan Archer
(keyboard).
Disokong oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd, konsert ini mendapat penajaan Sudoku Drums & Keyboards, JL Guitars, The Guitar Store, Cort Guitars, NEO In-Ear Monitors, HOT Kambing dan Gama Rock House, bersama Mewah Event Management, Karl Legacy dan MyArteez sebagai rakan strategik.
Seraya menyifatkan konsert ini bakal membawa banyak kejutan, Karl berkata: “Gandingan rare The Real Cromok ini signifikan bagi perjalanan Cromok yang ditubuhkan di Australia, semasa kami semua masih menuntut di University of Wollongong, New South Wales. Nak tahu Cromok sebenar, ini dia.

“Cuba bayangkan empat pemain gitar di satu pentas, bermain sekali gus. Jelas ini bukan konsert biasa, tapi penuh dengan kejutan. Apa saja kemungkinan boleh berlaku, tapi percayalah The Real Cromok akan melakar sejarahnya tersendiri," ujarnya

Pembelian tiket berharga RM188, RM288 dan RM388 serta RM888 (royal box) boleh dibeli menerusi www.therealcromok.com atau whatsapp talian hotline (+60111329 7822).
#Konsert #Cromok #Kejutan #Hillary #Man Keedal #The Real Cromok
;