Laman Utama
Refreshing! Resepi Sprite Campur Teh Hisham Raus Mendunia, Ditonton 32 Juta Hingga Ke Eropah
Satu pencapaian yang membanggakan buat pempengaruh muda, Hisham Raus apabila kandungan campuran air berkarbonat iaitu Sprite dan teh uncang yang dimuatnaik di laman sosial meraih perhatian sehingga ke luar negara.
Menurut Hisham, kandungan itu menerima kira-kira lebih 32 juta tontonan iaitu 20 juta tontonan di Instagram manakala di Tiktok lebih 12 juta yang menonton.
Gara-gara kandungan itu juga pengikut Hisham turut naik dengan mendadak di Instagram iaitu lebih kurang 250,000 di dua platform iaitu 100,000 di Instagram dan 150,000 menerusi TikTok dalam masa tujuh hari.
“Pada asalnya niat di hati untuk memastikan posting saya sentiasa konsisten, maka saya ke kedai runcit dan tergerak hati pula nak beli Sprite dan teh. Perkara ini satu kejadian yang luar biasa buat saya. Ini kerana kebanyakan kandungan yang dimuatnaik hanya mencapai ratusan ribu tontonan saja.
“Tetapi berbeza dengan yang ini (kandungan Sprite dan teh), ia mendapat reaksi positif sehingga ke Eropah. Rasa seronok pula bila mereka turut cuba resepi ini untuk dijadikan kandungan media sosial mereka pula,” katanya.
Bayashi Malaysia
Tambah Hisham, video-video resepi mudah menggunakan kaedah suntingan fast cut membuatkan golongan warganet menggelarkan dirinya ‘Bayashi Malaysia’.
Untuk makluman, Bayashi adalah pempengaruh TikTok Jepun yang terkenal dengan posting resepi mudah dengan menggunakan suntingan fast cut.
Berjaga sampai 5 pagi cari idea
Sementara itu, bercakap mengenai kehidupan sebagai pempengaruh, perkara itu bukan mudah kerana memerlukan semangat yang tinggi dan komited untuk terus konsisten dalam setiap kandungan video yang dimuatnaik.
“Bayangkan saya terpaksa berjaga sehingga 4-5 pagi untuk mencari idea apa yang patut dihasilkan agar ia dapat perhatian ramai dan semestinya memberi manfaat buat yang menonton.
“Bila nak rekod pun bukan mudah, saya tidak mempunyai jurukamera dan hanya menggunakan telefon bimbit saja untuk rekod dan guna kemera belakang (tiada monitor) (bukan selfie kamera).
“Dan yang paling penting, saya perlu konsisten agar para pengikut sudah bersedia dengan posting saya yang seterusnya,” ujar anak kelahiran Kuala Terengganu itu.
Mengenai Hisham, beliau memulakan kariernya sebagai pempengaruh pada tahun 2018 menerusi memuat naik video di Youtube.
Apapun, jom tonton video Hisham sediakan air Sprite campur teh yang refreshing ni!
undefined