Reimagining Ramlah Ram, Gadis Bermisai & Baju Tunku Abdul Rahman; Neonate Curi Perhatian Di KLFW2018
Jaman Dahooloo menjadi koleksi pertaruhan Neonate untuk pentas Kuala Lumpur Fashion Week 2018 (KLFW2018).
Tidak sia-sia memandangkan kesemua 24 helaian yang dipertontonkan pada Khamis lalu mencuri perhatian tetamu yang hadir pada sesi berkenaan.
Berikut kami kongsikan perkara menarik tentang koleksi berinspirasikan tokoh negara dan kenangan zaman kanak-kanak itu.
1. Wow! Setahun preparation
Persediaan koleksi Jaman Dahooloo mengambil masa selama hampir setahun sejak September tahun lalu.
"Inspirasi, idea dan tema koleksi ini mengambil masa setahun untuk realisasikan.
"Koleksi ni diinspirasikan daripada zaman dahulu, tidak hanya relate keapda seorang sahaja tetapi semua rakyat Malaysia," kata pengasas Neonate, Karl Shafek.
2. 30 jadi 24
Pada mulanya koleksi ini diberikan nama Icons Reimagine tetapi skop diluaskan lagi merangkumi nostalgia silam termasuk permainan dan frasa-frasa popular.
Sebanyak 30 helaian dihasilkan namun hanya 24 terpilih untuk ke pentas KLFW2018.
"Selebihnya kita akan realisasikan dalam fotografi kempen selepas ini," tambahnya.
3. Baju streetwear Tunku Abdul Rahman & Tun Mahathir
Antara ikon dan tokoh tempatan yang dijadikan inspirasi koleksi ini ialah Bapa Kemerdekaan, Tunku Abdul Rahman.
"Kami memilih quote 'Hiduplah Malaysia Merdeka' yang pernah digunakan pada satu cenderamata tahun 1957 untuk diabadikan dalam helaian koleksi ini, kemudian diolah dan disampaikan cara tersendiri," kata Shafek lagi.
Manakala, jaket ikonik Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad diolah dan disampaikan dalam versi jaket mirip ketenteraan yang boleh dipakai oleh golongan muda.
4. Ikonik Sudirman, Datuk M. Daud Kilau & Ramlah Ram
Selain itu, baju Jalur Gemilang Datuk Sudirman Arshad dipilih Neonate untuk dijadikan pakaian streetwear.
Baju penghibur popular Datuk M. Daud Kilau diolah menjadi sut denim dan digayakan oleh supermodel Tini.
Selebihnya, dres ikonik yang dipakai Ramlah Ram pada Anugerah Juara Lagu turut diinterpretasi Neonate menjadi wajah baru yang lebih segar.
5. Fabrik mesra alam
Neonate menggunakan fabrik jenis kapas fleece poliester untuk kebanyakan koleksi Jaman Dahooloo.
"Jenis fabrik dipilih yang menyerap peluh dan tak panas.
"Manakala, ada antara helaian yang dijelmakan dalam versi cetakan penuh berdasarkan identiti corak pemakai zaman era 1950-an hingga kini.
6. Provokatif gadis bermisai
Pertunjukan fesyen Neonate meraih sorakan penonton menerusi imej seorang gadis bermisai yang menyarung jaket dan seluar denim bercorak.
"Jaket itu mewakili era 1980-an dan gaya itu digemari oleh kebanyakan perempuan.
"Kami gambarkan imej itu sebagai seorang biker lelaki yang ada sisi feminin.
"Malah, tulisan yang tertera pada jaket itu pun melambangkan seseorang individu yang selalu mendapat perhatian," jelas Shafek yang turut menyuntik semangat filem Ali Setan dan Azura yang pernah popular suatu ketika dahulu.
Teks oleh: Amri Hassan
Foto: @aqoimran, @mqproduction, @eletrikhman